Malaysia Dateline

Darurat rosakkan demokrasi, serang kebebasan sivil, kata NGO

Pengisytiharan darurat dianggap sebagai memudaratkan demokrasi berparlimen dan menyerang kebebasan sivil kerana tindakan kerajaan yang menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tempoh darurat.

Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) berkata, artikel 150 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan tiada keperluan untuk memberikan kuasa eksekutif kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diumumkan pada malam sebelumnya.

Menurutnya, ini adalah perkara yang amat membimbangkan kerana tiada lagi sebarang mekanisme semak dan imbang dalam kerajaan.

“Walaupun kita berpendapat krisis kesihatan awam harus ditangani segera di bawah undang-undang seperti PKP, kuasa eksekutif yang keterlaluan dengan tiadanya pengawasan dari Parlimen atau Dun adalah satu tragedi buruk dalam pemerintahan.

“Pemisahan kuasa adalah kunci kepada pemerintahan yang demokratik. Sebarang fungsi dan kuasa pemerintahan yang tertumpu dalam satu badan tunggal harus diteliti dengan sangat berhati-hati.

“Ketiadaan semak dan imbang memungkinkan akan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pengurangan hak rakyat yang telah dijamin oleh perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertubuhan CSO for Reform itu juga menuntut agar kerajaan menegakkan hak asasi manusia serta tidak menggunakan Covid-19 sebagai alat membenarkan darurat bagi melemahkan demokrasi dan kebebasan sivil.

Mereka juga mendesak kerajaan untuk tidak mengutamakan oportunisme politik dan sebaliknya memberi tumpuan untuk melandaikan lekuk Covid-19 dengan langkah-langkah yang ada.

Selain itu, mereka menggesa orang ramai untuk turut menunjukkan perasaan tidak puas secara atas talian terhadap tindakan yang dimulakan oleh Perdana Menteri dengan menyertai kempen menggunakan tanda pagar #BantahDaruratMuhyiddin.