Malaysia Dateline

Darurat selepas PKP umpama ‘jatuh ditimpa tangga’ kepada ekonomi, kata pakar

Tindakan mengisytiharkan darurat selepas melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19 umpama ‘jatuh ditimpa tangga’ kepada ekonomi negara, kata pakar ekonomi.

Dr Jomo K Sundram berkata, PKP sudah merosakkan ekonomi Malaysia tetapi apabila kerajaan mengisytiharkan darurat ia telah menyukarkan ekonomi Malaysia untuk bangun.

“Apabila dilaksanakan PKP, ia ibarat ekonomi Malaysia jatuh dan apabila dilaksanakan darurat pula, menyebabkan tangga pula jatuh atas ekonomi Malaysia,” kata beliau dalam sidang media khas anjuran Jawatankuasa Rayuan Tamat Darurat hari ini.

Pengerusi sidang media ini adalah Khalid Samad yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Menamatkan Proklamasi Darurat.

Bagi Dr Jomo, PKP sendiri bukan penyelesaian yang tuntas untuk memutuskan rantaian Covid-19 kerana ia hanya dilaksanakan di negara barat dan gagal.

“Apa salahnya kita tidak mengikut barat tetapi mengikut timur kali ini. Negara-negara Asia Timur seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan tidak mengenakan PKP apatah lagi darurat untuk melawan Covid dan mereka berjaya.

“Bahkan Vietnam dan Laos sendiri yang bersempadan dengan China tidak laksanakan PKP dan mereka berjaya.

“Kenapa mereka berjaya dan kita tidak? Kerana kita bodoh sombong dan hanya mahu mengikut Barat,” kata Jomo, bekas anggota Majlis Penasihat Negara itu.

Padangan Jomo disokong oleh seorang lagi pakar ekonomi, Dr Nungsari Mohd Radhi yang berkata, kesan besar dari darurat adalah keyakinan pelabur sudah hilang kepada ekonomi Malaysia.

“Keyakinan kepada ekonomi Malaysia bukan hilang di kalangan pelabur sahaja tetapi juga pengguna. Apabila jatuhnya keyakinan, maka pengangguran akan melanda,” kata Nungsari.

Ia berlaku apabila pengguna yang hilang keyakinan kepada ekonomi akan tidak membelanjakan wangnya dan menyebabkan ekonomi terbantut.

“Bila pelabur tidak ada, pengguna juga tidak berbelanja, ekonomi akan merudum,” kata beliau.

Dr Mohamad Abdul Khalid pula berkata, pelaksanaan darurat telah menyebabkan kerajaan yang ada lebih bersifat autokratik.

Selepas menjadi kerajaan autokratik, kerajaan yang ada juga tidak menggunakan peluang yang ada untuk kebaikan ekonomi dan rakyat.

“Bila darurat, kerajaan ini menjadi kerajaan tanpa tanggungjawab, kerajaan tidak boleh di kritik. Ringkasnya ini adalah kerajaan autokratik,” kata bekas Penasihat Ekonomi kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir itu.

Apabila ini berlaku, katanya, ia akan memburukkan ekonomi.

“Sistem begini akan burukkan ekonomi. Ia akan berlaku ketirisan dan khazanah negara dikaut oleh segelintir elit yang berkepentingan,” kata beliau.

Menurut beliau, karajaan autokratik akan baik untuk ekonomi jika pakar-pakar dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dengan melaksanakan pendekatan untuk kebaikan negara dan rakyat serta ekonomi.