Malaysia Dateline

Darurat tanda kegagalan Muhyiddin, kata Mujahid

Kuasa Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pastinya dibuat dengan penuh hikmah atas kepentingan negara dan keselamatan rakyat, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam masa sama, katanya, hikmah tersebut juga menggambarkan betapa lemahnya kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) kerana terpaksa bergantung kepada Perkara 150 Perlembagaan demi melindungi kegagalannya.

“Kuasa proklamasi darurat atas Perkara 150 Perlembagaan telah diguna pakai untuk mengatasi peningkatan mendadak Covid-19.

“Pelbagai akta baharu dipinda di Parlimen atas sokongan semua ahli Parlimen untuk perkukuhkan penguatkuasaan SOP (prosedur operasi standard).

“Apakah TSMY gagal gunakan peruntukan eksekutifnya ataukah Kabinetnya terlalu lemah sehingga pandemik gagal dikawal secara kuasa yang ada pada sesebuah kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Perikatan Nasional (PN) hari ini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat susulan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menarik diri daripada menyokong kerajaan.

Dalam masa sama, Mujahid turut mempersoal sama ada fokus Muhyiddin dan Kabinet Presiden Bersatu itu telah terpesong dari mentadbir negara.

Sebaliknya, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu, Muhyiddin hanya tertumpu kepada memikirkan hakisan sokongan majoriti yang semakin ketara.

“Apakah darurat sebagai peluang padanya mengekalkan kuasa tanpa majoriti?

“Jikalau TSMY menegaskan bahawa dalam keadaan darurat ini, keadaan berjalan seperti biasa dari segi aktiviti rakyat dan Kabinet serta pentadbiran berfungsi sediakala, hanya DUN dan Parlimen digantung, bukankah ini menimbulkan persoalan tentang kegagalan TSMY untuk bertanggungjawab di hadapan legaslatif?

“Apakah TSMY enggan berhadapan dengan realiti hilang majoriti di Parlimen yang menghantuinya?” bidasnya.

Sehubungan itu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH berharap negara terhindar dari impak “pandemik politik belot” merujuk kepada PN yang merampas mandat rakyat dimiliki kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Semoga negara kita selamat bukan sahaja dari pandemik global tetapi juga terselamat dari pandemik politik belot yang asasnya sangat fobia untuk mengabsahkan majoriti yang semakin hari hilang dari genggamannya,” tambahnya lagi.