Malaysia Dateline

Darurat tidak dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PN

Pembatalan projek keretapi laju KL – Singapura (HSR) dan Darurat tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional, kata Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashid.

“HSR dan Darurat nampaknya tidak dibincang pun. Memang wajar tarik balik sokongan,” kata beliau menerusi facebooknya hari ini selepas seorang lagi MP Umno mengumumkan tidak lagi menyokong kerajaan PN.

Selepas tiga hari Ahli Parlimen Machang dari Umno, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga mengambil keputusan sama hari ini.

“Ohhh Darurat Politik rupanya. Faham faham.

“Baru saja tubuh Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional kononnya apa apa polisi kerajaan mesti dibincang oleh Majlis ini,” kata Puad mengulas keputusan Yang Dipertuan Agong mengistiharkan darurat itu selepas permohonan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Disember lepas, Muhyiddin mengumumkan penubuhan Majlis Presiden PN yang dianggotai oleh semua presiden parti anggota PN termasuk Umno.

“Kami telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh semua Presiden parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional sebagai wadah penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti,” kata beliau yang juga Pengerusi PN.

Menurut Muhyiddin, beberapa langkah ke hadapan termasuk penubuhan Sekretariat Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN turut dibincangkan dan dipersetujui.

Selain itu, penggubalan piagam antara parti juga akan dibincangkan di peringkat parti masing-masing serta persiapan untuk pilihan raya akan datang.

“Majlis Presiden akan bertemu lebih kerap dengan pertemuan pertama pada awal tahun hadapan untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan COVID-19 dan penyediaan RMK-12,” katanya lagi.

Ketua-ketua parti yang hadir pada mesyuarat tersebut ialah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Turut hadir ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Edward Dagul.