Malaysia Dateline

Darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos, kata Majlis Raja-raja

Raja-raja Melayu yang bermesyuarat dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini berpendapat, darurat tidak perlu disambung lagi selepas 1 Ogos nanti dan pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan  majoriti rakyat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Raja-raja juga sependapat dengan Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu bersidang segera.

Keputusan ini dicapai selepas kesemua sembilan Raja-raja Melayu bertemu hari ini di Istana Negara selepas Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan kesemua pemimpin politik mulai Rabu sehingga Ahad kelmarin.

Mereka adalah Yang di-Pertuan Agong sendiri, Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Perlis yang diwakili oleh Raja Muda Perlis.

Raja-raja juga berpendapat Dewan Undangan Negeri juga perlu bersidang secepat mungkin.

“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid-19 wajar diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Tan Sri Syed Denial Syed Ahmad Penyimpan Mohor Besar Raja-raja itu.