Malaysia Dateline

Darurat tutup pintu Parlimen, tetapi buka pintu dewan orang ramai

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal pada 15 Januari lalu meminta Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menamatkan Darurat yang dijangka berlarutan sehingga 1 Ogos depan.

Kedua-dua pemimpin pembangkang-PH itu juga mahukan semua pihak bertenang, sambil mengelakkan PRU15 sehingga Covid-19 berakhir.

Sehari sebelum itu, Anwar mengutus surat kepada semua ahli Parlimen agar menghantar memorandum merayu Yang di-Pertuan Agong (YdPA) membatalkan Darurat.

Memorandum itu juga bertujuan memohon perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkan sidang Parlimen diadakan segera.

Dalam surat beliau, Anwar menegaskan jumlah kes semasa Covid-19 kian tenat yang mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, dan kadar kemiskinan meningkat.

Shafie pula meminta Muhyiddin menamatkan Darurat, dan memulakan perjanjian damai politik. Jika perlu, katanya, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menghalang Pilihan Raya Negeri Sarawak, atau mana-mana pilihan raya selagi wabak pandemik ini masih ada.

Kerajaan PN, tegas Shafie, perlu berunding dengan PH agar memperoleh majoriti.

Kedengaran seperti menyanggah atau menderhakai YdPA. Ada peguam yang mengatakan Anwar tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Wiramuda Parti Star Sabah, Kong Soon Choi pada 15 Januari lalu pula mengatakan Anwar tidak peka dengan situasi semasa.

Akan tetapi, anggapan ramai bahawa Darurat yang diisytiharkan ialah Darurat politik tidak dapat disangkal begitu sahaja selepas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 12 Januari lalu, mengumumkan menarik sokongan terhadap PN, sekali gus mengisytiharkan kerajaan pimpinan Muhyiddin itu sudah hilang majoriti.

Selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menarik sokongan, kini PN cuma ada 109 ahli Parlimen sahaja.

Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno turut menyatakan mungkin beberapa lagi ahli Parlimen BN turut menolak PN.

Menurut Nazri, beliau telah lama memikirkan keputusan yang dibuat itu, dan menganggap ia keputusan yang terbaik untuk Umno.

Tambah Nazri, bila tarikh PRU15 tidak dapat ditentukan, tetapi dengan menarik sokongan, kerajaan sudah tiada sokongan apabila hanya mempunyai 109 penyokong sahaja.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga AMT Umno turut menghadiri sidang media Nazri, tetapi tidak membuat sebarang kenyataan.

Tegas Nazri, pengumuman Darurat selepas pengisytiharan PKP 2.0 adalah bukti logik Kerajaan PN telah runtuh.

Katanya, Muhyiddin dilihat agak panik kemungkinan kerana sudah tahu perancangan beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Ia memang Darurat politik, kata beliau, kerana jika Darurat kesihatan, kita boleh guna pakai PKP. Seorang lagi AMT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut berharap lebih ramai ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap PN-Muhyiddin.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR-PH), Hassan Abdul Karim, salah dan tidak berperlembagaan (unconstitutional) jika Muhyiddin menyatakan Parlimen Malaysia sekarang digantung kerana ada Proklamasi Darurat berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021.

Dari perspektif undang-undang, kata Hassan, Proklamasi Darurat dan Penggantungan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza.

YdPA bersetuju mengeluarkan satu Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat yang dikemuka oleh PM, dan Kabinet. Proklamasi Darurat, kata Hassan, hanya setakat itu sahaja, dan tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.

Untuk menggantung Parlimen, Muhyiddin mesti mengemuka alasan-alasan khusus, dan kukuh kepada YdPA mengenai keperluan menggantung Parlimen Malaysia sekarang. Namun begitu, Muhyiddin gagal mengemuka alasan-alasan tersebut.

Jelas Hassan, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Proklamasi Darurat tidak membawa kesan automatik Parlimen mesti digantung.

Sebaliknya, Perkara 150 (2B) menyatakan Parlimen boleh bersidang ketika Proklamasi Darurat berkuatkuasa. Perkara 150(3) pula menyatakan, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan,…”. Ertinya, Parlimen masih berfungsi.

Dari 1971 hingga 2012, Malaysia ada empat Proklamasi Darurat berkuatkuasa dengan sah dari segi undang-undang.

Dalam tempoh 41 tahun itu, Malaysia telah mengadakan sembilan kali PRU dan mempunyai sembilan penggal Parlimen (dari PRU4/1974 sehingga PRU12/2008). Ini bermakna Parlimen wujud dan berfungsi di sepanjang masa walaupun 4 Proklamasi Darurat tersebut tidak dicabut, atau dimansuhkan.

Parlimen hanya digantung pada 1969 sehingga 1971 akibat Tragedi 13 Mei 1969. Ketika itu Badan Separuh Tentera yang dipanggil Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mentadbir Malaysia.

Walau bagaimanapun, fakta jelas menyatakan Muhyiddin sendiri secara terbuka membuat pengakuan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Darurat yang diketuainya ialah kerajaan awam, bukan kerajaan tentera.

Badan Eksekutif yang mentadbir negara sekarang ialah Jemaah Menteri, bukan badan seperti MAGERAN.

Kesimpulannya, Parlimen Malaysia penggal Keempat Belas hasil dari PRU14, 9 Mei 2018 tidak digantung. Ia masih sah berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Parlimen Malaysia mesti dipanggil bersidang seperti notis yang telah dikeluarkan sebelum ini, iaitu Sidang Pembukaan Rasminya oleh YdPA pada 8 Mac 2021 nanti.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar pada 12 Januari lalu di Ipoh juga mengatakan Darurat bertujuan menghalang Parlimen bersidang. Bagi beliau, pengisytiharan Darurat itu ada ‘udang di sebalik batu’.

Keraguan timbul kerana Muhyiddin mengatakan Kabinet ataupun badan eksekutif boleh berfungsi seperti biasa, yang bererti semua menteri masih berkuasa, dan boleh menjalankan tugas yang diamanahkan.

Badan kehakiman juga boleh berfungsi seperti biasa, dan tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah.

Namun demikian, kata Sivakumar, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibenarkan bersidang.

Sivakumar bertanya mengapakah hanya Badan Perundangan tidak dibenarkan untuk berfungsi seperti biasa. Kelakar jika Kerajaan Muhyiddin menyatakan Covid-19 hanya merebak menerusi Sidang Parlimen, dan DUN.

Kerajaan PN, kata Sivakumar, takut dan bimbang ia akan tumbang jika Sidang Parlimen diadakan mulai 8 Mac nanti.

Dengan eksekutif dan kehakiman dibenarkan berfungsi di bawah Darurat yang diisytiharkan, dan Badan Perundangan sebaliknya, Sivakumar berpendapat Kerajaan PN tidak menghormati undang-undang, dan mengamalkan double standard.

Sivakumar menganggap Darurat ini untuk menyelamatkan politik Muhyiddin, dan Kerajaan PN. Rakyat sendiri, kata beliau, dapat menilai kejujuran Muhyiddin, dan kerajaannya dalam mengumumkan Darurat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (DAP-PH) menggesa Muhyiddin memanggil segera sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi Covid-19 yang kian meruncing.

Bagi Steven, Kerajaan PN telah gagal dalam tempoh setahun ini melawan wabak pandemik tersebut, dan melindungi ekonomi Malaysia.

Tambah beliau, kegagalan itu lebih terserlah melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan Darurat.

Kerajaan PN, kata Steven, tidak serius berusaha melawan Covid-19, sebaliknya lebih berminat untuk bermain politik.

Menurut mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad pula, rakyat Malaysia tidak pernah mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan di jalan raya sehingga menyebabkan kerajaan perlu melaksanakan darurat.

Tambah Mahathir, rakyat mematuhi dengan baik semua arahan kerajaan di sepanjang tempoh membendung penularan Covid-19.

Kerajaan sendiri, katanya, telah mempunyai begitu banyak kuasa untuk menangani jangkitan berkenaan, dan tidak harus meletakkan negara dalam keadaan darurat.

Tegas Mahathir, Malaysia bukan seperti negara lain di mana rakyat mereka tunjuk perasaan menentang arahan kerajaan.

Pihak yang berhadapan dengan darurat sebenarnya adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan rakyat negara ini yang sedang berlawan dengan Covid-19.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad pula menegaskan oleh kerana PN yang berada dalam Darurat selepas seorang demi seorang ahli Parlimen Umno menariksokongan, Muhyiddin Yassin memohon pengistiharan Darurat daripada YdPA.

Bagi Ahli Parlimen Shah Alam itu, negara tidak memerlukan Darurat kerana PKP 2.0 sudah ada.

Justeru, Darurat tang diisytiharkan sebenarnya untuk menghalang sidang Parlimen, dan sidang DUN. Tiada kena-mengena, katanya, dengan Covid-19 kerana sebelum ini, ada ahli Parlimen masuk Dewan Rakyat memakai PPE.

Tegas Khalid, semua orang, malah satu dunia sudah tahu Kerajaan PN hilang majoriti. Bagi beliau, hujah mendapatkan katil dari hospital swasta untuk pesakit Covid-19 juga tidak memerlukan Darurat kerana Akta Penyakit Berjangkit boleh digunakan untuk mendapatkannya.

Penyanggahan terhadap pelaksanaan Darurat bertambah apabila peruntukan RM35.43 juta untuk membina dewan orang ramai di Pagoh diluluskan, walaupun dinafikan oleh Jabatan Perdana Menteri (PMO).

Dalam satu kenyataannya, PMO menjelaskan jumlah peruntukan itu untuk membina tiga dewan – bukan sebuah – dan perolehan projek tersebut dibuat mengikut tatacara secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Isu dewan tersebut tular selepas beberapa ahli Parlimen PH membangkitkannya. Pada 16 Januari lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir meminta Muhyiddin menjelaskan projek di kawasan Parlimennya itu.

Akmal mempersoal kewajaran mengeluarkan biaya jutaan ringgit untuk projek tersebut pada saat negara bergelut menghadapi Covid-19.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayob juga menyuarakan pandangan serupa. Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah mengatakan hal itu tidak boleh ditanya secara rasmi kerana pintu Dewan Rakyat dan DUN ditutup, sebaliknya pintu dewan orang baharu dibuka.

Pada 11 Januari lalu, YdPA memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara berkenaan, iaitu Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan Darurat sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif harian Covid-19 dapat dikawal, dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, serta pakar-pakar kesihatan, dan yang berkait.

Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda jika pelaksanaan Darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Setelah memperhalus penjelasan PM dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan Covid-19 di negara ini berada pada tahap yang amat kritikal, perlu ada Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. Ia juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembah semasa sesi taklimat tersebut.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal
diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.

 

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.