Malaysia Dateline

Darurat untuk politik bukan lawan Covid, kata bekas Menteri Kesihatan

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional telah menggunakan darurat untuk kepentingan politik dan bukannya melawan Covid-19, lapor portal berita The Malaysian Insight

Ini kerana, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, kerajaan mempunyai kuasa mencukupi untuk menangani penyebaran virus yang sudah mencapai empat angka sejak akhir tahun lalu tanpa perlu darurat.

Misalnya, kata beliau, Putrajaya boleh meminta bantuan hospital swasta dan pengamal perubatan swasta bagi mengekang virus tersebut tanpa menggunakan perintah darurat.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sudah cukup untuk mengawal penyakit ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

“Sebaliknya, darurat digunakan untuk memendekkan tempoh masa kuarantin bagi menteri yang melakukan perjalanan ke luar negara.

“Ini bertentangan dengan sains dan prinsip pengendalian penyakit berjangkit,” jelasnya lagi kepada laman itu.

Beliau merujuk kepada pengumuman Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada Isnin yang anggota Kabinet hanya perlu dikuarantin selama tiga hari dan bukannya 10 hari wajib selepas mereka kembali dari luar negara.

Dalam warta Persekutuan, menteri yang pulang dari tugas rasmi di luar negara akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).