Malaysia Dateline

#DaruratBanjir sohor di Twitter, ramai didakwa terperangkap dalam banjir

Lantaran banjir luar biasa melanda di banyak kawasan di Lembah Klang, pengguna Twitter mewujudkan tanda pagar #DaruratBanjir.

Semakan Malaysia Dateline setakat jam 3 pagi ini mendapati, sebanyak 380,000 ciapan menggunakan tanda pagar itu.

Warganet antaranya didapati menggunakan tanda pagar itu dengan meminta bantuan bagi pihak ahli keluarga masing-masing yang terperangkap dalam banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur kali ini.

“Mohon ke nombor 1, Jalan Trombon, 33/1A, Shah Alam! Abang dan mak saya terperangkap di sana.

“Seluruh kawasan kejiranan mereka tiada bekalan elektrik sekarang!” kata pengguna Twitter, Gina Mei hates Kleptos lewat tengah malam tadi.

Terdapat juga individu yang sukarela tampil menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir yang terkandas.

Pengguna Twitter, @mustakim_ismail kira-kira jam 2 pagi contohnya berkata, sesiapa yang memerlukan kenderaan pacuan empat roda (4WD) untuk membantu mereka yang terkandas boleh menghubungi beliau.

“Saya berada di sekitar Bukit Jelutong, TTDI Jaya,” katanya diikuti #DaruratBanjir.

Dalam hal berkaitan, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon bantuan bagi mangsa banjir di negeri itu.

Amirudin berkata, kerajaan negeri memohon bantuan aset-aset Persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas ketika ini.

Menurutnya, Daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor setakat jam 5 petang tadi telah mengoperasikan 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan 3,582 penduduk yang menjadi mangsa banjir selepas tempat kediaman mereka dinaiki air.

Sementara itu, sebanyak 14 sungai di Selangor, telah melebihi paras bahaya mengikut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Alam Sekitar dan Air setakat 10.15 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula pada 10.30 malam tadi menjangkakan hujan sangat lebat akan berterusan di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Turut dikataegorikan dalam zon sama iaitu merah ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang meliputi Jerantut, Bentong dan Kuantan.

Berikut antara tangkap layar daripada warganet sejak tengah malam tadi yang membuat hebahan meminta bantuan bagi pihak ahli keluarga yang terperangkap dalam banjir: