Pada tahun 1998, saya menjadi doktor pelatih di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Saya diarahkan untuk melaporkan diri ke Wad 22 dan diberitahu konsultan wad adalah Datuk Dr Ismail Merican dan dia amat digeruni kerana ketegasan beliau.
Saya berjumpa dengan Datuk (kini Tan Sri) Ismail Merican di lif HKL sebelum pukul 7 pagi dan beliau hanya bertanya tiga soalan ‘lulus dari universiti mana, ‘posting’ ke berapa dan adakah sudah berkahwin.
Dia membuat rondaan klinikal dan semua pakar, pegawai perubatan dan doktor pelatih mengikuti beliau. Kalau ada yang tidak kena ‘siaplah’ untuk kena. Amat tegas tetapi pada saya bertempat.
Kata beliau, “Fear is a great motivator.”
Saya memulakan tugas di wad tersebut dan untuk keseluruhan wad ada empat doktor pelatih. Kami bertugas atas panggilan selang sehari. Maknanya, mula bekerja jam 7 pagi terus hingga jam 5 petang dan bila ‘oncall’ sambung bekerja hingga esok sampai pukul 12 tengahari.
Keesokannnya tiada ‘on call’ tetapi hari berikutnya rutin ‘on call’ yang sama. Pulang ke bilik hanya untuk tidur dan bila jaga, kembali bekerja. Elaun ‘on call’ ketika itu? RM20. Kerja di restoran segera pun dapat lebih daripada itu.
Pada suatu ketika, semasa saya sedang mengambil ‘sejarah pesakit’ di hujung katil, pesakit mendapati saya tiba-tiba ‘senyap’ beberapa minit dalam keadaan berdiri.
“Doktor? Doktor?”
Rupa-rupanya, saya tertidur sambil berdiri. Barulah saya tahu ketika itu yang sebenarnya, saya boleh tidur sambil berdiri.
Setelah ‘terjaga’, saya teruskan menghabiskan ‘sejarah pesakit’ dan memeriksanya sebelum membentangkan dapatan, diagnosa dan rancangan rawatan awal saya kepada pegawai perubatan.
Kami semua berusaha untuk menyempurnakan semua tugas dan pada hujung penempatan, menjalani ‘peperiksaan’ dan perlu lulus sebelum dapat meneruskan penempatan lain.
Pada ketika itu, jangkasama penempatan doktor pelatih adalah selama setahun dan hanya ada tiga penempatan disiplin. Untuk saya, penempatan adalah dalam disiplin perubatan dalaman, ortopedik dan obstetrik. Bagi penempatan ortopedik ada yang mendapat penempatan surgeri.
Pada ketika ini, Malaysia sedang berkembang pesat dan ada arah serta cita-cita yang jelas untuk pembangunan negara dalam bentuk Wawasan 2020. Ia bukan ‘slogan kosong’ tetapi usaha-usaha keras dapat dilihat setiap hari dalam mengejar wawasan ini.
Menara Berkembar Petronas baru siap dan menjadi bangunan yang tertinggi di dunia. Perkhidmatan LRT dan monorel sudah dimulakan manakala ‘Bas Mini’ digantikan dengan Bas Intrakota yang lebih moden.
Putrajaya sudah siap dan Sukan Komanwel baru sahaja dianjurkan dan dianggap sebagai sukan komanwel yang terbaik pernah dianjurkan dalam sejarahnya. Teringat lagu “Standing in the Eyes of the World” nyanyian Ella bergema dengan penuh makna pada acara penutup.
Lapangan Terbang KLIA menjadi lapangan terbang termoden di dunia dan bertahun-tahun mendapat anugerah lapangan terbang terbaik dunia. Hari pertama ia dibuka, rasa cemburu Changi dapat dicerap dengan siaran akhbar Singapura yang menjangka ‘bencana’ bagi urusan bagasi. Tetapi itu tidak berlaku.
Terdapat projek Multimedia Supercorridor dengan panel penasihat antarabangsa yang dianggotai oleh gergasi IT. Cyberjaya direncanakan sebagai Lembah Silikon negara dan syarikat gergasi IT mula menempatkan ibu pejabat di situ.
Hospital-hospital baru dibina bagi menjangka peningkatan keperluan masyarakat yang meningkat selain menempatkan petugas baru. Tiada yang kerja kontrak kerana petugas kesihatan teramat perlu.
Mendahului dunia
Hospital Selayang menjadi hospital yang pertama di dunia menggunakan sistem IT sepenuhnya. Pasukan IT KKM yang terdiri dari doktor dan jururawat telah berjaya bekerjasama dengan vendor untuk membolehkan operasi berjalan lancar.
Sebenarnya vendor yang sama gagal melaksanakan hospital ‘tanpa kertas’ di Australia dan kejayaan hospital ini menjadi sebutan di luar negara.
Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ditubuhkan sebagai universiti yang pertama menggunakan teknologi maklumat dengan pengajarannya dibuat secara atas talian. Malaysia mendahului dunia dalam banyak perkara.
Ketika itu, rakyat Malaysia amat bangga kerana dihormati dunia di mana sahaja mereka pergi. Semua bersemangat dengan rekod-rekod baru dibuat.
Laungan ‘Malaysia Boleh’ bergema dengan penuh yakin. Puncak Everest ditawan dan rakyat Malaysia belayar solo mengelilingi dunia.
Seorang warga Britain menulis dalam akhbar, “This is where I want my children to grow as we can see clear motivation and vision for a country.”
Dengan semangat ‘Malaysia Boleh’ ini, semasa menjadi doktor pelatih dalam penempatan obstetrik, saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat’ dengan Unitar dan mengikuti pengajian secara ‘online’. Yurannya ketika itu adalah RM12,000.
Saya memohon kebenaran dari Timbalan Pengarah HKL untuk memasang talian telefon yang saya bayar sendiri bagi membolehkan internet diakses dari bilik saya di kuarters doktor pelatih.
Ketika itu tiada teknologi ‘wireless’ atau ‘wifi’. Setiap akses internet perlu melalui telefon menerusi sistem ‘jaring’ dan ada bunyi ‘kssssk… poinggg’ sebelum internet bersambung.
Setelah itu, saya mengikuti pengajian secara atas talian dan ini dibuat di luar waktu bekerja. Saya cuba memohon jadual kerja yang membolehkan pengajian ini saya ikuti.
Saya masih perlu menyelesaikan semua keperluan buku log bagi kelahiran bayi, rondaan wad, dewan bedah bagi posting akhir doktor pelatih.
Alhamdulillah, saya dapat menyelesaikan semua subjek dan peperiksaan semuanya diambil secara sambilan.Yang tinggal hanyalah untuk menyelesaikan kajian tesis. Pada ketika ini, saya sudah menjadi pegawai perubatan dan ditempatkan di Hospital Alor Setar.
Ketika itu, terdapat rancangan untuk membina hospital baru (kini dipanggil Hospital Sultanah Bahiyah) yang akan menggunakan sistem IT seperti Hospital Selayang.
Saya berjumpa dengan pengarah hospital dan meminta kebenaran beliau untuk saya membuat dokumentasi bagi sistem operasi teknologi maklumat hospital dan dalam masa yang sama menjadikan ini sebagai tesis saya.
Alhamdulillah, pengarah bersetuju dan membenarkan saya untuk pergi ke Hospital Selayang selama sebulan untuk tujuan ini.
Hospital Selayang sebenarnya tidak ada sebarang dokumen langsung untuk pengurusan sistem teknologi maklumatnya kerana semua ini amat baru.
Maka cadangan saya untuk menghasilkan tesis ‘Development of Standard Operating Procedure of a Paperless Hospital in accordance to ISO 9001: 2001 Quality System’ diterima oleh pengarah hospital.
Maka setiap hari, saya membuat kerja-kerja dokumentasi ini untuk semua operasi dalam Jabatan Teknologi Maklumat hospital. Setiap hari, saya pulang jam 9 malam untuk itu dan tidak ada sebarang bayaran elaun.
Alhamdulillah, cukup sebulan, saya dapat menghabiskan semua dokumentasi ini yang tebalnya lebih 1,000 muka surat. Maka ini menjadi tesis yang diterima untuk saya lulus dalam program ijazah sarjana ini.
Selepas dari itu, hasil tesis saya digunakan oleh Jabatan Teknologi Maklumat Hospital Selayang untuk akreditasi ISO. Saya menyerahkan sesalinan kerja saya ke perpustakaan Hospital Alor Setar sebagai rujukan bagi kegunaan hospital baru seperti yang saya janjikan kepada pengarah. Saya kembali membuat tugas klinikal di Hospital Alor Setar.
Saya diberitahu oleh seorang pengurus syarikat IT bahawa hasil kerja saya, jika diminta untuk dibuat oleh syarikat seperti IBM, bayaran minimum adalah RM100,000. Tetapi saya berikan secara percuma untuk hospital.
Saya juga menyerahkan salinan hasil tesis saya kepada Tan Sri Ismail Merican dan dia teruja menerimanya kerana dia sendiri bertanggungjawab untuk memastikan operasi di Hospital Selayang lancar.
Saya menjadi seorang daripada lima orang yang menjadi lulusan sarjana dalam Konvokesyen Sulung Unitar yang diadakan di Hotel Istana pada tahun 2002.
Setelah banyak tahun, usia sistem teknologi maklumat di Hospital Selayang semakin ‘tua’. Semua tahu yang teknologi bergerak dengan teramat pantas. Terdapat woksyop untuk rancangan menaiktaraf sistem ini dan disertai oleh pengurusan dan Ketua-ketua Jabatan Hospital Selayang.
Saya dijemput dalam satu woksyop ini dan terdapat seorang pembentang dari syarikat swasta yang membentangkan operasi sistem.
Saya melihat hasil tesis saya dalam sebahagian slaid yang dibentangkan dan setelah selesai, saya diminta untuk memberikan komen. Saya katakan dokumen sistem kualiti berserta carta-carta alir untuk operasi yang ditunjukkan itu dibuat oleh saya.
“Oh really? We actually wondered who did this. Now we know,” kata pembentangnya.
Saya tidaklah merasakan apa-apa ralat kerana sememangnya, saya menghadiahkan hasil tesis saya kepada Hospital Selayang dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Asal sahaja ia berguna, maka saya terasa gembira. Walaupun saya tidak pernah menerima sebarang surat penghargaan dan gaji saya tetap sama, sekurang-kurangnya hasil usaha saya ada manfaatnya dan semoga diberkatkan dengan pahala dari Ilahi.
Saya melakukan semuanya atas rasa cinta saya kepada Malaysia dan setiap cinta menuntut pemberian yang tulus dan ikhlas.
Saya meneruskan kerjaya saya dengan menghabiskan pengajian dalam bidang kepakaran Perubatan Kecemasan selain beberapa subperkara yang saya minati seperti pengurusan bencana, medikolegal dan perubatan altitud tinggi. Semuanya dengan niat untuk manfaat masyarakat apa adanya.
Kini, setelah 22 tahun, amat malang apabila membaca tulisan dari bekas Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Selayang, Dato’ Dr Ghazali yang sistem operasi hospital tersebut agak ketinggalan dari zaman kegemilangannya.
Malah dalam beberapa hal, operasi terpaksa kembali kepada kaedah manual. (https://codeblue.galencentre.org/2021/11/02/selayang-hospital-from-glorious-days-to-a-sorry-state-of-affairs-dr-ghazali-ahmad/)
Sebenarnya Hospital Selayang mempunyai pelbagai kepakaran klinikal yang cemerlang dan bertaraf dunia. Besar jasanya kepada masyarakat sejak penubuhannya. Tentulah semua ini perlu disokong oleh sistem IT yang terkini.
Saya berharap, sistem operasinya dapat ‘diremajakan’ semula. Terdapat isu kos dan semua tahu, kini negara sedang bergelut dengan pandemik dan ini meruncingkan lagi masalah kewangan. Ada cabaran yang nyata pastinya untuk solusi tetapi harapnya ada cahaya di hujung terowong.
Pihak vendor juga harus melihat semua ini sebagai satu tanggungjawab nasional dan bukan hanya tentang wang dan ringgit serta menekan kerajaan dengan caj yang tidak munasabah untuk semua usaha integrasi dan naiktaraf.
Bagaimanapun, saya percaya, kita harus kembali menjadi sebuah negara yang memandang jauh ke hadapan dan membuat dasar-dasar yang ‘masuk akal’ dan ada hala tujuannya untuk masyarakat makmur.
Malaysia harus mempunyai kerangka matlamat dan cita-cita yang membolehkan ekonomi menjana pendapatan, pemimpinnya berintegriti, rakyatnya dinamik dan dapat menarik pelaburan serta semua kepintaran rakyatnya digembleng untuk kembali menjadikan Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh dunia.
Malaysia pernah melakukan semua ini dengan jayanya pada masa lalu dan pandangan jauhnya dicemburui oleh negara luar. Semuanya dapat dijayakan apabila rasuah dikekang, integriti dijaga dan semua ikhlas berbakti dan bukan hanya memberi jika ada pulangan wang semata-mata.
Kita harus bertanya di mana kita kini dan di manakah kita untuk tahun-tahun seterusnya dalam menuju masa depan berbanding dengan negara jiran.
Negara-negara jiran sedang rancak merencanakan pembangunan dan ekonomi negara. Adakah kita punya wawasan untuk maju seiring?
Saya sentiasa percaya bahawa cinta kita kepada Malaysia harus meletakkan kepentingan dan kejayaan Malaysia melebihi kepentingan diri sendiri.
Masyarakat kini dapat menilai dan boleh membuat tafsiran sendiri dari situasi semasa.
Adalah satu impian semua untuk Malaysia terus dinamik dan progresif serta tidak ditinggalkan oleh negara-negara lain untuk dekad-dekad seterusnya.
Apakah wawasan kita untuk Malaysia, 30 tahun dari sekarang? Bolehkah kita melihatnya? Jika kita tidak melihat apa-apa, maka yang ‘tiada apa-apa’ itulah wawasannya.
Sedih bukan?
*DR ALZAMANI MOHAMMAD IDROSE kini merupakan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Trauma, Kuala Lumpur.