Malaysia Dateline

Dasar Agro Makanan Negara di rangka

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang dalam kajian bagi merangka Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 yang bertujuan memacu pemodenan sektor agro makanan.

Beliau berkata Dasar Agro Makanan 2.0 itu penting bagi menjadikan sektor makanan negara lebih berdaya saing seiring ledakan Revolusi Industri 4.0.

Dasar itu akan menekankan pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden, penyediaan modal insan serta pengkomersialan pertanian termasuk inovasi dalam sektor penting itu, katanya.

“Ini selaras dengan tumpuan kerajaan bagi menjadikan sektor makanan kekal relevan dan lebih berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Bertemakan “Makanan Kita Masa Depan Kita”, pameran dwi tahunan itu akan berlangsung selama 11 hari sehingga 2 Disember depan.

Hadir sama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

— BERNAMA