Malaysia Dateline

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971: Kenyataan Adun Bukit Tengah dangkal dan prejudis

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menegaskan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 adalah masih relevan dan tidak lapuk.

Sehubungan itu Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, kenyataan Adun Bukit Tengah dari PKR, Gooi Hsiao Leung yang mengatakan dasar tersebut sebagai lapuk dan ‘ketinggalan zaman’ adalah kenyataan dangkal, sesat dan prejudis.

Jelas beliau, dasar tersebut haruslah difahami latar belakang sejarah dan proses pembinaannya.

“Meskipun lebih empat dekad berlalu dan perubahan banyak berlaku, pembinaan negara bangsa Malaysia yang diimpikan masih jauh tercapai.

“AMANAH Perak memberi ingatan supaya sebarang perubahan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 tidak mengadaikan tiga prinsip yang menjadi asas utama dalam pembentukan dasar tersebut.

“Prinsip tersebut adalah budaya kebangsaan mesti berdasarkan budaya Melayu; unsur-unsur yang sesuai dari budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan, dan prinsip ketiga Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, janganlah keghairahan menerajui kerajaan baharu, segalanya hendak diubah, dipinda dan dibuang.

“Atau ura-ura mahu mengubah dasar kebudayaan ini hanya satu penjenamaan baru? Hentikan kerja-kerja sia dan fokus kepada penyelesaian masalah utama rakyat sekarang.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga harus faham bahawa soal kebudayaan bukan soal ruang lingkup portfolio kementerian. Soal kebudayaan adalah soal kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” tambah beliau.