Dasar Keluarga Negara akan diperkasa melalui MPPKN, kata Wan Azizah

Dasar Keluarga Negara akan diperkasa melalui MPPKN, kata Wan Azizah

Dasar Keluarga Negara (DKN) akan diperkasakan melalui Majlis Penasihat dan Perundingan Keluarga Negara (MPPKN) bertujuan untuk mengukuhkan institusi keluarga dalam menghadapi cabaran di masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, MPPKN akan dianggotai dikalangan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan kekeluargaan.

” Antara perkara utama yang akan dibincangkan mengenai isu perkahwinan dan perceraian, kesejahteraan remaja, pengukuhan nilai keluarga, penurunan kadar kesubran serta penuaan penduduk,” ujarnya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hadir ke Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) dalam lawatan pertamanya ke agensi di bawah kementerian itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini.

LPPKN berperanan sebagai sebuah agensi utama yang bertanggungjawab khusus dalam pembangunan keluarga di negara ini.

Menurut Presiden Pakatan Harapan (PH) ini lagi, Dasar Keluarga Negara yang akan diperkukuhkan ini di bawah MPPKN ini adalah selari dengan janji PH di dalam Buku Harapan.

“Janji 53 dalam buku Harapan iaitu untuk mendokong keutuhan institusi keluarga dan kejiranan.

“Kerajaan memperluaskan program pemerkasaan keluarga dan komuniti bagi mencapai kesejahteraan,” ujarnya.

Difahamkan LPPKN sedang melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (Face) secara berfasa di 32 buah komuniti terpilih yang berasaskan keperluan masyarakat setempat.

Malah Dr Wan Azizah menegaskan LPPKN akan kekal sebagai sebuah pusat kecemerlangan penduduk dan keluarga berdasarkan kepentingan pengukuhan institusi keluarga sebagai asas kecemerlangan sosial di dalam masyarakat.