Dasar kerajaan menjadi kunci utama prestasi Bursa Malaysia tahun ini

Dasar kerajaan menjadi kunci utama prestasi Bursa Malaysia tahun ini

Bursa Malaysia Bhd berasa yakin dengan prospek pasaran ekuiti tempatan tetapi melalui syarat bahawa kerajaan perlu memperkenalkan inisiatif atau dasar-dasar yang boleh melonjakkan pasaran.

“Kami berharap kerajaan akan melihat ke dalam beberapa inisiatif atau membuat perubahan kepada dasar, yang seharusnya sudah direalisasikan sekarang ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Tajuddin Atan kepada pemberita di sini hari ini selepas taklimat mengenai prestasi tahun kewangan 2018 bursa itu.

Katanya, sentimen pasaran mula melembap selepas kerajaan baharu mengambil alih kuasa pada tahun lepas menyebabkan Bursa Malaysia terpaksa menyesuaikan diri kepada perubahan dasar kerajaan yang baharu ini.

Beliau memahami bahawa kerajaan juga terpaksa menyesuaikan kedudukan kewangan dan ini perlu dihormati, tetapi orang ramai juga sedang menunggu hala tuju dan dasar-dasar yang akan diperkenalkan.

Secara luaran, Bursa Malaysia dijangka akan menerima pengaruh, antara lain, ketegangan perdagangan membbaitkan Amerika Syarikat (AS)-China, pertumbuhan ekonomi China dan kenaikan kadar faedah AS.

Bagaimanapun, beliau yakin Bursa Malaysia akan terus kukuh memandangkan asas ekonomi negara adalah mantap serta asas pelaburan dan kepelbagaian sektor-sektor ekonominya.

Tajuddin juga optimis bahawa tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun ini akan melebihi angka tahun lepas.

Langkah pelaksanaan IPO yang rendah pada tahun lepas, terutama dalam pasaran utama, adalah disebabkan oleh sentimen yang lemah, menyebabkan syarikat-syarikat menangguhkan penyenaraian mereka walaupun menerima kelulusan.

“Melangkah ke hadapan pada tahun ini, kami telah melihat empat penyenaraian iaitu dua di pasaran ACE dan dua lagi di pasaran LEAP. Sebahagian daripada mereka yang telah menerima kelulusan lebih awal, mungkin akan datang kembali pada tahun ini,” katanya.

Bercakap mengenai dana asing, beliau memberitahu terdapat tanda-tanda positif yang mencerminkan perubahan dalam trend, yang telah menyaksikan aliran keluar sebanyak US$2.88 bilion pada tahun lepas.

” Selain dari semalam dan hari ini, sejak dua minggu sebelum ini, kami telah melihat angka yang lebih positif membabitkan para pelabur asing, pada saya ia mungkin suatu perubahan trend atau peneutralan aliran yang negatif sebelum ini.

“Momentum pasaran yang agak negatif dalam dua suku terakhir 2018, menunjukkan tanda-tanda perubahan sekarang ini,” katanya.

— BERNAMA