Malaysia Dateline

Dasar keselamatan dan ketenteraman awam dilancar untuk negara kekal berdaulat

Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) akan menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dasar itu juga akan menjadikan rakyat Malaysia bersatu padu serta berupaya mempertahankan kepentingan nasional.

Ketika melancarkan DKKA itu di sini hari ini, Dr Mahathir berkata dasar itu juga akan melengkapi Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang merupakan satu dasar payung dalam aspek keselamatan negara.

“Dasar ini dirangka sebagai panduan dan rujukan bagi mendepani pelbagai isu dalam sektor keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar,”katanya.

Dr Mahathir berkata DKKA amat diperlukan di waktu negara berhadapan dengan ancaman keselamatan yang begitu kompleks dan sukar ditangani dengan cara-cara konvensional.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan negara dan rakyat terjamin. Negara yang selamat dan aman akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Perdana Menteri berkata dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan yang kompleks.

“Ancaman ini memberikan satu cabaran yang besar kepada mana-mana kerajaan di dunia bagi memastikan keselamatan negara dan rakyatnya terjamin,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, keselamatan dan ketenteraman awam merangkumi semua aspek dari pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air; pengukuhan keselamatan sempadan; menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi ancaman dadah; dan melindungi aset dan sasaran penting negara.– BERNAMA