Malaysia Dateline

Dasar khianat tidak akan hormat undang-undang

Sejak tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional yang didukung oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam SeMalaysia (PAS), Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) dan parti-parti picisan lain serta Azmin dan koncunya pada 1 Mac 2020, kita sebenarnya sudah dapat menghidu bahawa Kerajaan ini adalah sebuah kerajaan yang tidak akan mempedulikan undang-undang dan peraturan negara.

Asasnya ialah kerana mereka menjadi kerajaan secara tipu helah, muslihat malah mengkhianati undi pengundi sendiri. Apa yang boleh diharap dengan pengkhianat? Hendak mengharapkan kebaikan dan kejujuran? Nama pun khianat.

Mulanya mereka membeli jiwa rakyat dengan frasa memujuk, inilah Kerajaan Melayu Islam. Inilah kerajaan prihatin rakyat. Mereka mengumpan rakyat dengan habuan dan peruntukkan demi peruntukkan sehingga mereka sendiri akhirnya akui kantung perbendaharaan negara semakin nipis di ambang nazak.

Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang di dalam Rukun Negara sudah tidak terpakai bagi pemimpin kerajaan khususnya.

Bermula 18 Mac 2020, Kerajaan Perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua warga dikurung bagi mengawal pandemik. Kemudian diperkenalkan PKPB dengan kelonggaran tertentu.

Undang-undang dan peraturan diperketat tetapi tidak terpakai kepada pimpinan termasuk Menteri. Kita lihat bagaimana rakyat biasa dikompaun malah ada yang dihadapkan ke mahkamah tetapi Menteri ke Turki pulang ke tanahair hanya dikompaun tanpa ke mahkamah.

Peraturan diperketat terhadap rakyat. Pandemik tidak berkesudahan tetapi rakyat tertekan. Hilang punca pendapatan sehingga ada yang melarat.

Diproklamasikan pula Darurat bermula 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021.

SOP terus diperketat terhadap rakyat. Nilai kompaun dinaikkan sehingga RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan dan/atau syarikat. Denda dinaikkan sehingga RM100,000.

Rakyat biasa yang disyaki melanggar peraturan dikompaun serta merta. Ada kalangan orang ternama seperti artis dan pimpinan politik disiasat demi siasatan bukannya serta merta. Akhirnya ada yang dikompaun, ada yang terlepas.

Kes perkahwinan Neelofa contohnya, hanya Neelofa dan keluarga dikompaun sedangkan Menteri yang turu hadir di dalam majlis terlepas.

Annuar Musa dilaporkan melanggar SOP tiada berita tindakan. Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat bergambar bersama 16 orang lain lain tanpa penjarakan fizikal dan tanpa pelitup muka, tiada kedengaran sebarang tindakan mahupun siasatan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dimasyhurkan kononnya untuk membantu membendung pandemik tetapi asasnya ialah untuk mengekalkan kuasa. Seksyen 14 (1)(b) dengan jelas memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong. Malah Istana Negara sendiri mengesahkan Parlimen boleh bersidang dalam keadaan darurat tetapi Kerajaan ini tidak endahkan undang-undang yang mereka sendiri masyhurkan.

Yang mereka ikut dan pertahan hanya Seksyen 11 (1) (a) iaitu kedudukan Jemaah Menteri terus wujud selagi mana Ordinan berkuatkuasa.

Sekarang, kita saksikan bagaimana Ketua Polis Negara digantikan. Dilantik seorang Ketua Polis Negara yang baru sedangkan Seksyen 15 Akta Polis 1967 jelas memperuntukkan bahawa tiada persaraan atau pun perletakan jawatan oleh pegawai polis boleh berlaku dalam tempoh darurat.

Kerajaan ini, mereka :
a) buat SOP, mereka langgar SOP;
2) isytihar Darurat, mereka tidak ikut undang-undang darurat;
3) buat program vaksin, mereka tidak ikut sepenuhnya malah ada perlanggaran juga

Mereka, Kerajaan ini jelas Kerajaan Khianat yang hanya pedulikan diri sahaja, rakyat di nombor 2. Mereka buat apa pun tak apa, rakyat terkhilaf sedikit dihukum didenda.

Kita hanya mampu berdoa dan berharap kepada kebijaksanaan dan keprihatinan Ke Bawah Duli Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Daulat Tuanku, tolonglah kami hamba rakyat. Selamatkan negara. Bukti apa lagi yang mahu kami tunjukkan?