Dasar komoditi negara diberi hala tuju baharu

Dasar komoditi negara diberi hala tuju baharu

Dasar Komoditi Negara akan ditambah baik dengan memasukkan penetapan hala tuju dan sasaran baharu industri agrikomoditi negara, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata usaha menentukan hala tuju dan inisiatif dalam membangunkan industri agrikomoditi untuk jangka pendek dan panjang itu dilakukan melalui sesi pemukiman yang sedang dijalankan kementeriannya bersama agensi dan pihak berkepentingan lain.

Kok berkata, pemukiman itu akan mendapatkan pandangan serta cadangan daripada pihak industri, pekebun kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf dengan mengangkat dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) sebagai rujukan utama.

Pemukiman itu antara lain akan menyemak semula pencapaian sasaran kementerian bagi 2018; mengkaji semula strategi, sasaran dan pelan tindakan kementerian yang dibangunkan di bawah Kertas Strategi KSP RMK11 dan menetapkan strategi, sasaran dan pelan tindakan bagi keutamaan dan penekanan baharu mengikut KSP RMK11, katanya seperti dilapor Bernama.

“Sesi ini akan merangka hala tuju jangka masa panjang industri agrikomoditi yang merangkumi penggalakan pelaburan, pengenalpastian peluang-peluang dan komoditi baharu yang berpotensi sebagai sumber kekayaan baharu negara,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini, hari ini.

Dasar Komoditi Negara 2011-2020 menggariskan langkah strategik dalam memperkukuhkan daya saing industri komoditi, antara lain menyasarkan peningkatan pendapatan eksport komoditi negara kepada kira-kira RM242.5 bilion menjelang 2020.

Dalam pada itu, Kok berkata prestasi perdagangan kurang memberangsangkan sektor agrikomoditi tahun ini menuntut kementerian itu menggandakan usaha melakukan promosi dan pelaburan melalui beberapa misi ekonomi ke luar negara.

Antara misi tersebut ialah kunjungan ke China, Afrika Utara, Colombia dan Amerika Syarikat dengan sasaran meningkatkan prestasi eksport agrikomoditi serta menarik peluang pelaburan langsung (FDI) syarikat besar dari negara-negara tersebut ke Malaysia, katanya.

Kok berkata kementerian itu juga akan melancarkan kempen ‘Sayangi Minyak Sawit Malaysia’ bermula tahun hadapan bagi membangkitkan kesedaran rakyat tentang kebaikan dan kelebihan produk komoditi tersebut.

“Usaha kerajaan mendepani sentimen anti sawit global seakan tidak bermakna sekiranya rakyat Malaysia sendiri tidak meyakini dan memilih bahan itu untuk digunakan sebagai kegunaan harian di rumah,” katanya.

Beliau berkata kempen tersebut juga akan disokong oleh kerajaan negeri selepas cadangan kementerian itu dibangkitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri baru-baru ini.

Usaha melawan sentimen anti minyak sawit secara agresif itu juga akan dibantu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta yang mana setakat ini Air Asia telah menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam kempen tersebut, katanya.

COMMENTS