ULASAN: Mutakhir ini, muncul pandangan bahawa Malaysia tidak dapat mengamalkan sikap berkecuali, atau neutral, di dalam isu-isu antarabangsa. Walaupun telah dijelaskan dengan tuntas oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu, di dalam satu forum di Universiti Malaya baru-baru ini, bahawa Malaysia telah mengambil pendekatan berkecuali di dalam soal pertikaian Laut China Selatan (LCS).
Mohamad selanjutnya menyatakan bahawa perkara ini turut disampaikan kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), tentang prinsip dan pendekatan Malaysia.
Walaubagaimanapun, sesetengah pihak menganggap bahawa kerajaan Malaysia tidak mampu mengambil pendekatan sedemikian kerana berhutang dengan AS, kerana negara tersebut telah memberi sumbangan dana dalam memastikan kerajaan terdahulu tumbang.
Tetapi, pandangan ini ialah bacaan yang tidak mendalam tanpa mengambil kira beberapa faktor penting.
Pertama, kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini konsisten dalam menyatakan polisi neutral dalam isu-isu antarabangsa.
Sebagai contoh, seawal memegang tampuk pemerintahan lagi, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan kewujudan kapal-kapal perang asing di perairan LCS.
Malah jika dilihat, ini adalah kali pertama kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan sedemikian. Jelas menunjukkan tegasnya pendirian kerajaan di dalam soal ini. Selanjutnya, Malaysia juga tidak berpihak kepada mana-mana negara di dalam soal Perang Dagangan atau ‘Trade War’.
Kedua, tidak timbul kerajaan hari ini berhutang dengan AS kerana bantuan diberikan kepada Bersih, satu badan yang mesra dengan pimpinan kerajaan PH. Hal ini kerana sifat bantuan dana daripada badan bukan kerajaan atau ‘non-governmental organizations’ (NGOs) berpusat di AS, adalah berbentuk geran kajian sekaligus tiada unsur menghakis kedaulatan negara, seperti didakwa oleh sesetengah pihak.
Malah, bantuan yang diterima itu akan diterjemahkan dalam bentuk latihan dalam memperkasakan suara rakyat dan pendemokrasian negara. Isu-isu yang dipelopori NGOs berkenaan juga turut berkisar dengan nilai-nilai antarabangsa yang diterima masyarakat dunia, seperti demokrasi, hak asasi manusia dan masyarakat sivil, antara lain.
Tambahan pula, bantuan ini tidak diberikan kepada parti-parti politik, tetapi kepada NGOs. Hal ini selari dengan objektif NGOs itu sendiri, dimana produk akhir bukanlah tumbangnya sesebuah kerajaan, tetapi untuk mempromosi nilai demokrasi demi keamanan sejagat yang memberi fokus kepada isu-isu tertentu.
Ketiga, tidak juga timbul isu tumbangnya kerajaan terdahulu atas sebab revolusi warna – membangkang sehingga tumbangnya kerajaan melalui demonstrasi, mogok dan campur tangan. Walaupun saban tahun demonstrasi telah diadakan di Malaysia, tetapi ia adalah bertujuan untuk memberi cakna kepada rakyat Malaysia. Kerana akhirnya, kerajaan terdahulu tumbang menerusi peti undi pada 9 Mei yang lalu.
Oleh itu, isu revolusi warna tidak timbul sama sekali.
Keempat, sikap berkecuali dan neutral merupakan dasar luar negara sejak sekian lama. Dasar ini telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, sebagai tindak balas terhadap persekitaran hal ehwal rantau dan dunia pada tahun sekitar 1970-an.
Kerana ketika itu, hal ehwal rantau dan dunia dibentuk oleh peperangan ideologi antara AS dan USSR (nama lama Russia), dimana negara-negara dikelaskan samada berpaksikan AS atau USSR. Menyedari bahaya mengikut telunjuk satu pihak, Malaysia ketika itu mengambil pendekatan untuk berkecuali. Dan menariknya, dasar ini masih relevan dalam mendepani politik antarabangsa.
Dalam erti kata lain, para pegawai tentera dan kerajaan kita telah dilatih dan cukup berpengalaman di dalam soal ini, sekaligus menepis pandangan bahawa Malaysia, di bawah kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat mengambil sikap berkecuali dalam dasar luarnya.