Malaysia Dateline

Dasar luar Malaysia yang terus-terang kini menjadi perhatian

 

Sejak Pakatan Harapan memerintah, dinamika dasar luar negara berubah seiring dengan isu-isu semasa yang dibawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menghadiri beberapa mesyuarat rasmi di luar negara.

Walaupun faktor umur tidak berpihak kepada beliau, tetapi beliau masih kuat untuk bertemu dengan komuniti antarabangsa dan menyatakan pandangan beliau, walaupun berdepan kuasa besar.

Tidak dinafikan lagi, sosok tubuh Dr Mahathir merupakan antara individu penting dalam meletakkan posisi Malaysia sebagai negara utama di dalam pentas antarabangsa.

Pertama, ketika menghadiri Perhimpunan Umum di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations General Assembly (UNGA), Dr Mahathir telah mencadangkan usaha perubahan bagi Majlis Keselamatan PBB.

Secara spesifik, beliau menyatakan cukup sekadar dua negara diperlukan untuk menggunakan kuasa veto di dalam majlis berkenaan.

Hal ini baik daripada segi pentadbiran berkaitan isu keselamatan dan keamanan dengan pengurangan pemusatan kuasa yang terletak kepada kelima-lima negara yang merupakan ahli tetap majlis tersebut.

Kedua, cadangan Dr Mahathir bahawa tiada keperluan untuk kapal perang belayar di Laut China Selatan juga praktikal.

Hal ini kerana, sehingga kini, terdapat banyak kapal perang China and negara-negara lain berlegar di perairan tersebut dan meningkatkan potensi untuk menceroboh kawasan kedaulatan Malaysia dan negara-negara jiran.

Perairan Malaysia juga pernah diceroboh kapal perang dan bot dari China pada tahun 2013 dan 2016.

Dalam erti kata lain, provokasi seperti ini seharusnya diberhentikan, seiring dengan gesaan Dr Mahathir.

Seterusnya, apakah seruan Dr Mahathir relevan berkaitan isu perdagangan bebas dan adil? Ia relevan terutamanya bagi ASEAN dan APEC.

Hal ini demi memastikan kesan sampingan daripada perang dagang Amerika Syarikat dan China and dasar tutup pintu negara lain dapat dineutralisasikan dan mengurangkan kesannya kepada ekonomi Malaysia and rantau ini.

Walaubagaimanapun, terdapat segelintir negara ASEAN tidak dapat mengikut rentak ini.

Terutamanya Myanmar yang sehingga kini masih mengelak untuk menggunakan perkataan “Rohingya” dan tidak iktiraf permasalahan tentang penghapusan bangsa yang sedang berlaku.

Tetapi Dr Mahathir akan terus bersuara demi memastikan pemimpin Myanmar akan dipertanggungjawabkan.

Tuntasnya, dalam jangka masa terdekat, dasar luar negara akan berterus-terang demi kebaikan masyarakat antarabangsa dan Malaysia akan dianggap sebagai pemimpin yang dinamik dirantau ini, atas kepetahan menyuarakan pandangan dalam isu-isu global.