Malaysia Dateline

Dasar Negara Rahmah garis ciri masyarakat dan negara Rahmatan Lil Alamin

Sebuah Blue Print Dasar Negara Rahmah yang menggariskan ciri-ciri sebuah masyarakat dan negara yang menjadi matlamat Rahmatan Lil Alamin,sedang dirangka kerajaan, kata Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata, Aspirasi yang terkandung dalam Blue Print Negara Rahmah ini juga adalah seiring dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan agenda antarabangsa 17 Matlamat Sustainable Development Goals (SDGs).

Blue Print ini telah meletakkan lima (5) prinsip Maqasid Syariah iaitu Menjaga Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta sebagai Prinsip Panduan bagi memastikan segala perancangan dan halatuju bergerak seiring dengan Syariat Islam.

“Dasar Pentadbiran Islam melalui Pendekatan RAHMAH bukanlah bertujuan menghapuskan hak orang Islam atau melonggarkan mana-mana undang-undang yang menjamin kepentingan Islamsebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) PerlembagaanPersekutuan.

“Malah dengan terlaksananya dasar ini ia dijangka akan berupaya mengangkat martabat Islam dan umatnya kerana nilai- nilai Rahmatan Lil Alamin sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan prinsip- prinsip maqasid syariah akan dijadikan asas dalam pembentukan dasar kerajaan sekali gus mampu memberi implikasi positif terhadap pentadbiran negara dalam memartabatkan syiar Islam dan membela hak umat Islam,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Siti Zailah Mohf Yusof (Pas- Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Fuziah (PH-Kuantan) aspirasi Kerajaan untuk merealisasikan Dasar Rahmatan Lil Alamin sebagai dasar yang inklusif dalam pentadbiran Islam di Malaysia telah diperakui dan diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-65 yang dipengerusikanoleh  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Mac 2019.

Katanya, keputusan MKI ini seterusnya telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke254 pada 4 Julai 2019. Bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini dari aspek pengurusan dan pentadbiran merentas pelbagai agensi di
peringkat pusat dan negeri.

Pada 25 Oktober 2019, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju terhadap pelaksanaan dasar pentadbiran melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin untuk dilaksanakan ke arah mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini.