Dasar Pandang ke Timur kerjasama pendidikan dipertingkat

Dasar Pandang ke Timur kerjasama pendidikan dipertingkat

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan meneruskan Dasar Pandang ke Timur dan mempertingkatkannya.

Perdana menteri berkata Malaysia juga berharap kerjasama yang lebih rapat daripada Jepun terutamanya dalam bidang pendidikan.

Dr Mahathir berkata beliau percaya budaya dan nilai sistem masyarakat Jepun menyumbang kepada pemulihan negara itu selepas perang (Dunia Kedua) dan keupayaannya untuk maju dengan begitu pantas sehingga berjaya menempatkan diri setanding dengan negara maju di Barat.

“Kali ini, di bawah Dasar Pandang ke Timur, kami akan meneliti keseluruhan sistem pendidikan Jepun, bermula dari tadika sehingga ke peringkat pendidikan tinggi,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatan beliau dari Jepun, Shinzo Abe pada Selasa, lapor Bernama.

Terdahulu, Dr Mahathir dan Abe mengadakan mesyuarat delegasi di Pejabat Perdana Menteri.

Dr Mahathir kini dalam hari kedua lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun.

COMMENTS