Dasar Pendidikan Tahfiz Negara perlu segera dibentang ke kabinet

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara perlu segera dibentang ke kabinet

Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri digesa merealisasikan pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dengan membentangkan dasar tersebut di dalam kabinet.

Persatuan Permata Al-Quran (Permata) antara jawatankuasa induk pelaksanaan dasar tersebut menegaskan,DPTN perlu diangkat ke Parlimen untuk diluluskan dalam sidang dewan bagi merealisasikan pelaksanaannya di peringkat persekutuan.

Presidennya Manolito Mohd Dahlan berkata, ia susulan daripada pertemuan dengan jawatankuasa induk DPTN dengan Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada 1 September lepas, yang menyatakan hasrat untuk mengangkat dan mempertahankan dasar tersebut.

Bahkan dalam sidang dewan negara pada September lalu, Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh turut menegaskan kesediaan kerajaan melaksanakan DPTN yang diperkenalkan kerajaan terdahulu dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Kami telah bertemu dan menjemput YB Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid, dalam pertemuan tersebut kita telah nyatakan harapan supaya beliau mengangkat dasar pendidikan tahfiz dibentangkan dalam kabinet dan jadi salah satu dasar pendidikan negara.

“Beliau (Mujahid) ada menyatakan harapan untuk mengangkat, membentangkan dan seterusnya mempertahankan dasar tersebut,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut beliau jawatankuasa induk DPTN itu turut dianggotai beberapa gabungan persatuan tahfiz, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institusi Pengajian Tinggai Awam, Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri.

Beliau berkata daripada statistik Kementerian Pendidikan terdapat 1,347 buah maahad tahfiz swasta seluruh negara.

Daripada jumlah itu Permata Al-Quran menganggarkan terdapat 1,175 mudir, 2,400 penolong mudir, 11,800 guru dan 200,000 pelajar di maahad tahfiz swasta seluruh negara.

Bagaimanapun perkembangan maahad tahfiz ini sejak sekian lama, menurut Ustaz Manolito lagi, hanya dilihat sebagai ‘sistem pendidikan kelas kedua negara’ walaupun sistem pendidikan Islam seperti maahad tahfiz ini sudah wujud sejak enam dekad lalu.

“Mereka (pelajar tahfiz) tidak dapat tempat dalam sistem pendidikan kebangsaan keranan maahad tahfiz hanya dilihat sebagai ‘sistem pendidikan kelas kedua’.

“Dasar ini diharapkan tidak terhenti dan dapat terus dipersetujui pihak kerajaan dan kami mengharapkan seperti kenyataan timbalan menteri ( fuziah) yang akan mengangkat dasar pendidikan tahfiz jadi dasar pendidikan arus perdana.

“Saya mohon pada pihak kerajaan,sebagai persatuan yang menjaga kebajikan maahad tahfiz seluruh Malaysia, amat berharap melalui DPTN ini menjadi realiti yang dapat dilaksanakan kelak,

“Melalui DPTN ini nanti maahad tahfiz dapat diiktiraf sebagai sistem arus perdana, diberikan peruntukan, pengiktirafan persijilan, malah peluang memasuki insititusi pengajian tinggi dan peluang pekerjaan,” ujarnya.

Difahamkan status terkini dasar ini telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada Oktober 2017 dan hanya Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka telah meluluskan dasar ini di peringkat Dun.

DPTN mempunyai 5 teras utama iaitu memantapkan perundangan dan penguatkuasaan;mewujudkan model maahad tahfiz;mengwujudkan kurikulum pendidikan tahfiz sesuai arus pendidikan negara;memperkasa tadbir urus institusi tahfiz dalam negara dan;sistem pengiktirafan dan pensijilan institusi tahfiz.