Cukai tinggi belum tentu tingkat hasil pendapatan, kata penganalisis kepada kerajaan

Cukai tinggi belum tentu tingkat hasil pendapatan, kata penganalisis kepada kerajaan

Kajian perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan Bajet 2017 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober nanti adalah berhemah, tegas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, kadar cukai tinggi tidak semestinya meningkatkan hasil pendapatan negara bahkan rakyat akan mencari jalan untuk lari daripada membayar cukai jika kadar cukai melebihi tahap optimum.

Mengambil contoh tindakan kerajaan mengenakan kenaikan cukai yang tinggi dan berterusan ke atas barangan berasaskan tembakau, beliau berkata, industri rokok haram pula semakin bermaharajalela.

“Harga terlalu tinggi menyebabkan perokok mencari cara lain mendapatkan rokok murah. Maka, mereka beli dari pasaran gelap yang semakin subur apabila cukai berterusan dinaikkan,” jelasnya dipetik daripada artikel beliau di akhbar Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pendapatan kerajaan sebenarnya akan berkurangan dan kesan luar jangka akan berlaku apabila kadar cukai terlalu tinggi.

“Begitu juga jika cukai korporat dijadikan tinggi. Akibatnya nanti syarikat baharu tidak akan didaftarkan di Malaysia dan pelabur tidak akan datang.

“Kesan yang sama akan berlaku jika cukai pendapatan terlalu tinggi. Mereka yang kaya akan hanya berpindah ke negara lain yang cukainya rendah,” ujarnya sambil menyifatkan golongan majoriti pertengahan sebaliknya akan terperangkap kerana tidak mampu berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan pada masa sama tidak boleh sewenang-wenangnya menjanjikan penurunan itu dan ini seperti dilakukan sesetengah pihak.

“Jika kadarnya rendah, pastilah pendapatan negara juga rendah tetapi penting untuk kita sedar bahawa jika kadarnya terlalu tinggi, maka pendapatan negara menjadi rendah juga.

“Dasar percukaian tidak boleh dipandang remeh. Kesannya besar kepada negara dan rakyat, dan ini menuntut analisis terperinci sebelum perubahan dasar dilakukan,” tambahnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)