Malaysia Dateline

Dasar Persyarikatan Malaysia akan diberi nafas baharu, kata Mahathir

Kerajaan akan memberi nafas baharu kepada Dasar Persyarikatan Malaysia untuk memperkukuh lagi kerjasama di antara kerajaan dengan sektor swasta, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan Malaysia komited dalam usaha menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil untuk para pelabur.

“Menerusi pelbagai agensi yang terlibat dalam pengalakan pelaburan asing seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Invest KL dan Malaysia Digital Economy Corporation, kerajaan Malaysia telah menubuhkan organisasi yang diperlukan dan mengadakan kemudahan untuk melancarkan operasi pelaburan asing di Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa dialog anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Perancis Malaysia.

Selain itu kerajaan juga menumpukan usaha mewujudkan ekonomi stabil, melaksanakan disiplin fiskal dan tadbir urus yang baik, memastikan ketelusan dalam menjalankan perniagaan, menangani rasuah serta melancarkan pembaharuan institusi sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei, 2018, katanya.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia diiunjurkan berkembang pada 4.5 peratus pada 2020 walaupun mengharungi tempoh sukar yang berlarutan.

“Berlandaskan disiplin fiskal yang baik, defisit belanjawan kami akan mengecil kepada 3.2 peratus tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata pengurusan bakat turut menjadi aspek yang amat penting.

“Pembangunan pendidikan merupakan satu keutamaan untuk memastikan negara dapat mewujudkan bakat Malaysia yang diperlukan bagi abad ke-21 atau era digital.

“Kami turut mengalu-alukan ekspatriat dan bakat asing ke Malaysia di samping menyediakan pelbagai pekerjaan serta pas kemastautinan kepada bakat berkemahiran tinggi dan pakar asing,” katanya.

Dr Mahathir berkata banyak infrastruktur berkualiti telah siap dan dinaik taraf bukan hanya di Lembah Klang malah di Pulau Pinang, Johor dan negeri lain di Malaysia.

Sektor pembuatan pula bersedia sepenuhnya untuk menjayakan objektif Industri 4.0 (IR4.0) susulan pelancaran dasar nasional IR4.0, Dasar Industry4WRD, katanya.

“Kesimpulannya, Malaysia amat terbuka kepada perniagaan. Kami akan melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang turut akan membuka peluang kepada syarikat asing untuk menyertai dan meraih manfaat (daripadanya),” katanya.

Dr Mahathir berkata sektor perkhidmatan, termasuk kejuruteraan, aeroangkasa, peruncitan dan pelancongan, akan terus menyumbang kepada pewujudan Malaysia sebagai hab perniagaan serantau di samping menjadi destinasi pelancongan.

Malaysia menerima lebih 25 juta pelancong setiap tahun, katanya.

Beliau berkata Malaysia juga berperanan sebagai tuan rumah kepada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik bagi 2020.

“Justeru, saya ingin menggalakkan anda supaya mengambil bahagian dalam apa jua cara yang anda boleh. Kami akan mengadakan ekspo perdagangan, jadi anda boleh mengetengahkan produk anda kepada perniagaan dan pihak-pihak di negara ASEAN,” katanya.

— BERNAMA