Dasar perumahan, rumah generasi kedua Felda dimanipulasi kerajaan negeri

Dasar perumahan, rumah generasi kedua Felda dimanipulasi kerajaan negeri

Dalam Bajet Negeri Selangor 2018 kerajaan negeri dilihat tidak memberikan fokus kepada keperluan memiliki rumah sendiri dikalangan generasi muda  dan generasi kedua Felda di negeri itu.

Datuk Sulaiman Abdul Razak

Adun Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak  berkata, kerajaan negeri tidak memberikan peruntukan memuaskan terhadap pembinaan perumahan baharu selain hanya menyediakan insentif bagi generasi muda menyewa berbanding memiliki sebuah rumah.

Kata beliau dengan usaha kerajaan negeri bekerjasama dengan pemaju perumahan swasta walaupun telah mencapai sasaran awal sebanyak 15,000 unit sebenarnya telah memanipulasi dasar perumahan di negeri itu dengan menyediakan premium yang tinggi kepada pemaju perumahan.

“Bajet Negeri Selangor 2018 tidak memberi fokus kepada dasar perumahan kerana tiada peruntukan memuaskan.

“Daripada RM2.25bilion jangkaan hasil, sebanyak RM1.08bilion (48%) datang dari premium. Sedangkan kerajaan negeri menyasarkan 15,000 rumah pada 2018 tapi hari ini menteri besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) telah ubah sasaran itu pada tahun 2020.

“Rumah sudah siap 1,813 manakala 3,394 akan siap menjelang tahun 2020.Jadi apa berlaku baki 9,793 rumah lagi? Ini masalah asas di negeri selangor yang tidak diberi fokus.

“Sedangkan kutipan premium hingga RM1.08bilion daripada jumlah hasil yang dijangkakan kerajaan negeri Selangor. Manipulasi ini
tidak begitu mengembirakan,” ujarnya kepada media selepas pembentangan Bajet Negeri Selangor semalam.

Dalam pembentangan bajet semalam, di bawah pembangunan Rumah Selangorku usaha Kerajaan Negeri bersama pihak swasta (pemaju
perumahan) adalan membina Rumah Selangorku pelbagai jenis di lokasi yang strategik.

Pembinaannya telah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit yang mana sehingga 31 Oktober 2017 sebanyak 1,813 unit Rumah
Selangorku telah siap dibina dan angka ini akan meningkat kepada 3,394 unit siap dibina menjelang hujung tahun ini.

Manakala sebanyak 29 projek telah memperolehi kelulusan APDL dan dijangka akan menyiapkan 20,331 unit Rumah Selangorku secara
berperingkat-peringkat menjelang tahun 2020.

Justeru kata Sulaiman lagi, jika dasar perumahan ini dibandingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang memberi peruntukan RM2.2bilion
melalui pelaksanaan dilakukan  oleh  PR1MA dan beberapa agensi lagi untuk membina rumah kepada rakyat.

Kata beliau lagi, dalam bajet Kerajaan Negeri hanya diserahkan kepada pemaju dengan mengutip premium tinggi kepada pemaju perumahan.

“Saya melihat perumahan di Selangor lebih kepada mahu menenangkan hati rakyat dengan memberi insentif. Itu hak kerajaan negeri untuk beri insentif tetapi soal dasar dan perkara pokok keperluan perumahan perlu diwujudkan sebaliknya dikesampingkan.

“Ini kerana isu pokok mengenai perumahan tidak disebut dan dijelaskan apabila pemaju masih lagi bina rumah mengikut harga pasaran di negeri ini,” ujarnya.

Bagi tahun ini Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan Skim Smart-Sewa kepada RM100juta daripada RM10juta (2016) untuk
membeli unit-unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepada mereka yang berkelayakan.

Sehingga hari ini, sebanyak 861 unit rumah mampu milik telah dimiliki oleh LPHS dengan kos pembelian bernilai RM123.14 juta.
Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi skim ini.

Rumah kedua generasi Felda

Bagi Adun Hulu Selangor Datuk Rosni Sohar pula mempersolakan peruntukan bajet untuk perumahan generasi kedua Felda.

Datuk Rosni Sohar

Beliau berkata, BN Selangor pernah mengemukakan permohonan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kelulusan tanah bagi membina rumah generasi kedua Felda tetapi ditolak.

Beliau beranggapan dengan jumlah unit yang kecil tidak mampu menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di negeri ini.

Justeru beliau berpandangan ia hanya bajet gula-gula untuk generasi kedua Felda.

“Bajet ini bajet gula-gula untuk generasi kedua Felda kerana selepas menteri besar mengumumkan hanya 136 unit sahaja dibina sedang lebih 500 lagi generasi kedua Felda yang sangat perlukan rumah.

“Selangor memiliki tanah yang luas kenapa perlu bina rumah di atas tanah seluas 17 ekar sahaja?

“Sedangkan Felda pernah memohon untuk bina rumah tetapi MMKN tolak permohonan Felda pada 12  September 2011 dengan alasan permohonan tanah tidak diluluskan,” ujarnya.

Justeru katanya, jika benar kerajaan negeri mahu membela nasih generasi kedua Felda ia perlu melaksanakan secara bersepadu dengan kerajaan pusat melalui Felda.

“Bila BN nak bina tak dibenarkan buat tetapi lulus pula tanah ini untuk mereka buat rumah generasi kedua tapi hanya sekangkang kera. Jika nak bina binalah betul-betul, jika mahu tolong rakyat,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai usaha kerajaan negeri dalam bajet dengan mengumumkan bahawa PKNS akan membangunkan 136 unit rumah berkembar setingkat dengan keluasan 850 kaki persegi di atas tapak seluas 17 ekar berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan untuk
tujuan perumahan generasi kedua Felda.

Kerja tanah telahpun dimulakan dan kerja pembinaan akan bermula pada akhir bulan ini.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote