Malaysia Dateline

Dasar Rahmatan Lil Alamin bimbang tidak dilaksana

Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional melahirkan kebimbangan terhadap masa hadapan dasar Rahmatan Lil Alamin ekoran pengkhianatan terhadap mandat rakyat sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa pimpinannya, Rafiza Shahean Askolani, berkata, beliau sama sekali tidak meletakkan harapan yang tinggi, malah menjangkakan konsep yang dianggap baik itu tidak akan diteruskan oleh kerajaan baharu, Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, sikap Pas yang memusuhi AMANAH memberi gambaran jelas bahawa gagasan yang telah diusahakan dengan hasil keras bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof itu tidak akan diteruskan.

“Bila kita sudah tidak jadi kerajaan, habislah semua harapan dan cita-cita kita. Sebabnya, Pas sudah ada di peringkat Persekutuan.

“Takkan mereka nak terima. Pas sudah anggap AMANAH macam musuh,” katanya kepada Mingguan AMANAH selepas Taklimat Isu Semasa anjuran AMANAH Wilayah Persekutuan di Dewan Muafakat Halmim, Kampung Batu Muda, 2 Mac lalu, dipetik Mingguan Amanah.

Namun, Timbalan Pengerusi AWAN Wilayah Persekutuan itu berkata, hal tersebut tidak sewajarnya berlaku memandangkan ia konsep terbaik biarpun akuinya masih memerlukan beberapa penambahbaikan agar ia difahami oleh rakyat Malaysia.

Jelasnya, tempoh setahun lapan bulan ini juga masih belum cukup matang masanya untuk menerapkan kefahaman berhubung konsep berkenaan pada setiap rakyat.

“Sebenarnya, konsep ini orang bawah semua masih ada yang tidak faham lagi. Kita perintah baru 20 bulan, masih belum cukup (masa) lagi dan rakyat pun ramai masih tidak faham.

“Namun begitu, kita masih boleh buat lagi atas kapasiti AMANAH agar ahli parti kita terutamanya benar-benar faham dengan konsep tersebut,” tambahnya lagi.