Malaysia Dateline

Dasar Rahmatan lil Alamin dibawa ke kabinet Jumaat ini

Kertas Kabinet berhubung Rahmatan lil Alamin sebagai dasar pentadbiran Islam baharu negara akhirnya akan dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof selepas ia dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada Mac tahun lalu dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 2 Julai lalu.

“In shaa Allah hari Jumaat ini kita akan bentangkan kertas tersebut sebab dah lalui proses itu.

“Jadi kalau Jumaat ini dibentangkan, itu menandakan kerajaan telah menerima dasar ini secara rasmi iaitu dasar pentadbiran Islam yang juga menuntut ianya dilaksanakan merentas kementerian yang ada,” katanya kepada pemberita hari ini.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf ketika memberikan penerangan dalam sesi town hall bersama mahasiswa hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi Town Hall Program Nadwah Kepimpinan Mahasiswa Rahmah 2019 (Nadi’19) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi dan meluangkan masa hampir tiga jam beramah mesra serta menjawab soalan pelajar.

Mujahid berkata, program yang diadakan sebagai salah satu inisiatif kerajaan memperkenalkan dasar Rahmatan Lil Alamin yang mana ianya tertumpu kepada masyarakat kampus melalui program Jelajah Kampus.

Jelasnya, hasil daripada jelajah tersebut, pihaknya akan membentuk satu Majlis Perundingan Mahasiswa Rahmah bagi mengenalpasti kemahuan dan menimbangbaik cadangan dari pelajar.

“Kita telah pergi hampir 10 kampus. Sebahagian daripada hasil jelajah ini, kita nak kumpulkan semua kepimpinan daripada kampus-kampus dan seluruh negara untuk memulakan satu inisatif membentuk Majlis Perundingan Mahasiswa Rahmah.

“Kita mahu dasar Rahmatan Lil Alamin ini agar turun ke kampus dengan memahami apa yang kita nak bawa. Justeru, satu himpunan Konvensyen Mahasiswa Rahmah dijangka akan diadakan pada bulan 12 akan datang.

“Kita akan membincangkan resolusi-resolusi dan idea bagaimana kita boleh membawa dasar ini sehingga ke peringkat sekolah-sekolah,” katanya.

Program yang berlangsung selama empat hari ini melibatkan seramai 79 orang mahasiswa dari 30 Institut Pendidikan Tinggi dan Institut Pendidikan Guru.

Nadi’19 itu juga berjaya menyenaraikan lima resolusi hasil daripada perbincangan untuk mewujudkan organisasi tersusun menggerakkan agenda Rahmatan Lil Alamin.

Selain itu, resolusi turut mencadangkan agar meluaskan Nadi ke peringkat zon Sabah dan Sarawak.