Dasar Rahmatan Lil Alamin dipersetujui jemaah menteri

Dasar Rahmatan Lil Alamin dipersetujui jemaah menteri

Kertas pelaksanaan dasar pentadbiran Islam baharu melalui pendekatan RAHMAH telah dipersetujui dan mendapat kelulusan daripada mesyuarat jemaah menteri pada hari ini 25 Oktober 2019.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kertas dasar ini mengutamakan pendekatan Rahmatan Lil Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni untuk melahirkan masyarakat dan kehidupan lebih harmoni dan sejahtera dalam kalangan rakyat pelbagai agama, bangsa di negara ini.

Selain itu katanya, prinsip Maqasid Syariah turut dijadikan sebagai teras dalam pembentukan dasar pentadbiran yang bercirikan Pentadbiran Islam Model Malaysia yang sesuai dengan suasana, adat dan budaya bangsa Malaysia untuk dijadikan penanda aras global.

“Diharapkan dasar ini nanti dapat merubah sudut pandang terhadap agama Islam yang hari ini diuji dengan fahaman jalur Islam yang keras dan ekstrim mahupun jalur Islamophobia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pelaksanaan dasar ini juga, beliau berharap ia mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dari aspek-aspek meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Harapan ini selari dengan hasrat manifesto Pakatan Harapan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan baru-baru ini,”ujarnya.

Sebagai makluman dasar pentadbiran Islam melalui pendekatan RAHMAH ini telah diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-65 pada 14 Mac 2019 dan mesyuarat Majlis Raja-raja ke-254 pada 4 Julai 2019.

Sehubugan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi agensi pelaksana manakala seluruh agensi pentadbiran Islam di bawah Persekutuan ditugaskan menjayakan dasar ini mengikut bidang masing-masing.

“Pentadbiran Islam juga akan bekerjasama rentas kementerian pada bidang yang dikongsi kepentingan bersama.

“Insha Allah diharapkan agar perjalanan menuju sebuah negara RAHMAH akan dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak,” katanya.