Malaysia Dateline

Khairuddin Aman razali

Dasar skim kontrak memangsakan Melayu dan Bumiputera

Langkah kerajaan untuk tidak lagi membuat lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen, menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menjana dan menguruskan hasil pendapatan negara.

Malah, cadangan memperkenalkan skim kontrak untuk menjimatkan dana kerajaan sehingga RM5 bilion itu, dianggap sebagai tidak menghargai peranan penjawat awam dan tindakan terdesak kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sumbangan penjawat awam sebaliknya perlu dihargai dan tidak seharusnya diperlekehkan oleh pemimpin kerajaan yang ingin melebarkan pengaruh semata-mata.

“Dasar ini bakal memangsakan orang Melayu dan Bumiputera yang telah dijamin kedudukan istimewa mereka dalam perkhidmatan awam seperti dalam peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa ini, paling utama adalah sektor perkhidmatan awam perlu dipacu dengan hala tuju yang jelas mengenai aspirasi kerajaan, bukannya dibiarkan parti yang berbeza-beza ideologi memperalatkannya sesuka hati.

“Kewujudan pelbagai sistem terutamanya yang bersifat sebagai gateway kepada orang awam untuk mendapatkan bermacam-macam inisiatif yang disediakan kerajaan, perlu diintegrasikan.

“Ia perlu dimudahkan supaya benar-benar boleh sampai kepada mereka yang memerlukan, bukannya disulitkan supaya ada pihak yang boleh mendapat laba atas angin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kecekapan perkhidmatan awam yang penting kepada negara perlu ditingkatkan selari dengan jumlah rakyat yang semakin bertambah.

Justeru itu katanya, sudah sepatutnya penentuan sektor ekonomi utama, dasar dan sistem percukaian serta pengurusan kewangan kerajaan disemak semula dengan teliti oleh institusi berautoriti yang bebas dan pakar.