Data 14,200 penghidap HIV di Singapura bocor dalam talian

Data 14,200 penghidap HIV di Singapura bocor dalam talian

Maklumat sulit 14,200 individu yang dikesan menghidap HIV telah dicuri dan dibocorkan secara dalam talian oleh seorang bekas banduan warga Amerika Syarikat yang diusir dari Singapura selepas menjalani hukuman penjara tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mendedahkan maklumat rahsia yang dibocorkan termasuk milik 5,400 warga Singapura yang dikesan menghidap HIV sehingga Januari 2013 dan 8,800 warga asing yang didiagnosis dengan HIV sehingga Disember 2011.

Maklumat tersebut adalah termasuk nama, nombor telefon, butiran pasangan (nombor telefon dan alamat), keputusan ujian HIV dan maklumat perubatan berkaitan, menurut kenyataan dalam laman web MOH.

Selain itu, nama, nombor pengenalan diri, nombor telefon dan alamat 2,400 individu yang dikenal pasti mempunyai hubungan dengan penghidap HIV tersebut sejak Mei 2007, turut didedahkan dalam talian.

Menurut MOH, maklumat sulit yang dibocorkan itu berada dalam simpanan Mikhy K. Farrera Brochez, lelaki warga Amerika Syarikat itu yang menetap di Singapura atas pas kerja, antara Januari 2008 dan Jun 2016.

Lelaki berkenaan disabitkan kesalahan atas beberapa tuduhan berkaitan penipuan dan dadah serta berbohong kepada Kementerian Kesihatan tentang status HIV bagi mendapatkan pas kerja di republik itu.

Dia dihukum penjara selama 28 bulan pada Mac 2017.

MOH berkata pasangan Brochez ialah Ler Teck Siang, seorang doktor lelaki tempatan yang merupakan ketua Unit Kesihatan Awam Nasional MOH dari Mac 2012 hingga Mei 2013 dan mempunyai kuasa untuk mengakses maklumat di Pejabat Pendaftaran HIV sebagaimana yang dikehendaki untuk kerjanya.

Ler didakwa di bawah Kanun Jenayah dan Akta Rahsia Rasmi pada Jun 2016 kerana gagal menjaga dengan sewajarnya maklumat sulit berkaitan persakit positif HIV.

Pada September tahun lalu, Ler disabitkan atas keselahan bersubahat dengan Brochez untuk melakukan penipuan dan juga memberikan maklumat palsu kepada polis dan MOH dan dijatuhi hukuman penjara selama 24 bulan.

MOH berkata pada Mei tahun lalu, selepas Brochez diusir dari Singapura, MOH menerima maklumat bahawa lelaki itu masih menyimpan sebahagian daripada rekod yang dia ada pada 2016 tetapi maklumat tersebut tidak didedahkan kepada umum dalam sebarang bentuk.

Bagaimanapun, MOH berkata, Selasa lalu, pihaknya dimaklumkan bahawa lebih banyak maklumat daripada Pejabat Pendaftaran HIV mungkin masih lagi dalam simpanan Brochez.

MOH berkata Brochez masih dalam siasatan polis atas pelbagai kesalahan dan pihak berkuasa tempatan sedang mendapatkan bantuan pihak berkuasa di luar negara bagi mengesan lelaki tersebut.- BERNAMA