‘Datang, bantu, pergi tidak perlu dedah aib keluarga’ Syed Saddiq tegur MP Kuala Kangsar

Oleh NASUHA RAHMAN

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman menegur tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Yazid yang mendedahkan kisah sebuah keluarga yang menjadi viral di stesen radio baru-baru ini.

Melalui ciapan Syed Saddiq mencadangkan supaya Mastura datang melawat dan bantu keluarga berkenaan tanpa mendedahkan keaiban keluarga itu.

“Salam YB.

“Cadangan saya. Datang, bantu dan pergi.

“Tidak perlu buat pendedahan seperti keluarga itu bersalah,” kata Syed Saddiq.

Ini kerana katanya, di saat ini ramai yang perlukan bantuan sekarang dan jangan membuatkan mereka merasa tidak enak kerana meminta pertolongan.

Terdahulu, di ciapan Mastura memuatnaik video menemubual keluarga Kak Wati di mana nasib keluarga itu pernah diceritakan seorang pemanggil di sebuah stesen radio yang menceritakan anak Kak Wati terbaring kelaparan.

Dalam sedutan klip video itu, Pejabat Parlimen Kuala Kangsar meminta kepastian daripada Kak Wati adakah benar beliau yang dimaksudkan sambil mendengarkan suara pemanggil di stesen radio tersebut.

Mastura berkongsi video temubual bersama Kak Wati yang didakwa anaknya terbaring kerana kelaparan