Biasa sangat lidah dengan menu restoran makanan segera atau fast food hinggakan datang ke Melaka pun masih mencari makanan berselerakan Barat. Lemah!
Ini senarai tujuh restoran atau warung tepi jalan wajib singgah jika anda bertandang di Negeri Hang Tuah.
Datang ke Melaka tanpa merasa air tangan orang tempatan, tidak sah! Cubalah, anda pastinya mahu datang lagi!
- Roti Canai Kayu Arang
Roti Tampal Dangdut?! Ya. Menu istimewa ini boleh anda rasa di restoran beralamat 459, Kampung Bakar Batu di Bachang.
Cuba juga nikmati roti canai nanchos selain nasi lemak kukus dan sotong king. Lontong, sate, mi kari dan bihun soto pun ada.
Rotinya sedap tetapi awas menuntut kesabaran anda jika ingin menjamu selera di sini terutama pada musim cuti.
Namun, apa ada hal, kan? Pejam celik sambil beratur dan melayari internet, giliran anda tiba juga akhirnya. Restoran ini dibuka mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.
- Mi Goreng Hassan (Mi Bodo)
Lucu pula apabila tak pasal-pasal mi goreng dipanggil mi bodo. Mana taknya, hidangannya sangat ringkas dengan berencahkan sambal tumis, telur dan taugeh.
Namun, lazatnya hingga ‘meracun’ ke Indonesia dan Singapura. Semuanya gara-gara penangan mi bodo Tengkera yang merupakan perniagaan warisan sejak 1968.
Jangan terkejut jika sedang menuju ke Pantai Klebang dekat Kampung Lapan, anda akan nampak kereta bersusun di bahu Jalan Tengkera dan orang ramai beratur panjang di warung ini.
Nikmati mi bodo dengan bijak bersama kicap manis atau cuka yang terletak di atas meja dari jam 7.30 hingga 11.30 pagi.
Lebih 500 pelanggan sehari menjamu selera di warung ini dan anda perlu menjadi statistik itu pada masa akan datang.
- Nasi Lemak Hijau Ujong Pasir
Bukan ‘mak kau hijau’ ya! Nasi lemak hijau ini memang memukau. Pastikan anda sekeluarga atau sahabat handai singgah di restoran ini jika bertamu di bandar Melaka.
Taip saja di aplikasi Waze, ‘Nasi Lemak Hijau Ujong Pasir’. Jumpalah nanti lokasinya. Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat antara jam 10 pagi hingga 8 malam.
Ada 14 jenis nasi lemak hijau yang boleh anda cuba. Antaranya nasi lemak hijau ayam tasek, cencaru merecik hingga siakap crispy.
Suasana desanya permai dan santai tetapi parkir amat terhad. Siapa cepat dia dapat. Anda juga boleh ‘booking order’ jika datang berkumpulan dan berhubung dengan En Helmy di talian 012-6420 259.
- Asam Pedas Selera Kampung
Dari jauh sudah nama papan tanda restoran berlatarkan warna hijau ini. Pergi Melaka tak cukup syaratlah jika tak menjamah asam pedas.
Bukan saja asam pedas yang enak, masak lemak di restoran ini pun ‘terangkat’. Ada masak lemak udang galah, masak lemak ketam dan masak lemak siput sedut.
Wajib datang lagi di restoran di tengah Bandar Hilir ini.
- Nasi Ayam Baba
Mahu nikmati masakan ala Cina? Cubalah Nasi Ayam Baba. Memang dah tular restoran yang terletak di Jalan Pegaga, Taman Merdeka Batu Berendam ini.
Malah ada dua lagi cawangan di Jalan Hang Tuah dan Taman Tanjung Minyak. Pekena sekali dengan air mata kucing musim panas begini. Mungkin boleh jadi terapi hilang stres anda selepas seminggu bekerja.
- Mi Sup Tengkera
Ini kedai lama orang Melaka yang ‘ori’. Sudah lama menambat selera orang ramai. Rasanya, semangkuk memang tak cukup. Tambahlah lagi.
Supnya jenis ‘jernih’ dan ada sedikit rasa lada sulah. Bihun yang diguna pula agak tebal sedikit dari bihun yang lazim kita masak.
Dalam masa sama, anda juga boleh cuba rasa popiah basah dan goreng. Tidak seperti kebanyakan popiah, sayuran di dalamnya hanya dicelur dan rasa agak tawar, tetapi popiah di sini lazat.
Isinya digoreng terlebih dahulu dan anda boleh rasa udang keringnya. Memang sedaplah. Terletak hanya selang beberapa kedai sahaja dari mi bodo, kedai ini dibuka mulai jam 4 petang hingga sebelum Maghrib.
- Ikan Bakar Muara Sungai Duyung
Lokasi sesuai untuk ahli keluarga dan sahabat handai berkumpul. Yang jadi bos itu, molek sangat ambil hati staf dengan membawa mereka menjamu selera di sini. Janganlah kedekut!
Ada udang galah di sini. Boleh juga kunyah otak-otak sambil tunggu siap masakan ketam lada hitam, siakap tiga rasa, jenahak bakar, udang masak cili, kupang goreng halia dan sotong goreng tepung.
Semua ikan dan segala jenis kerangan di keda ini didaratkan di jeti nelayan di sebelah tengahari. Memang segarlah.
Pendek kata, banyak betul menu di sini. Jamu selera dengan pemandangan di muara Sungai Duyung yang menghadap Selat Melaka. Datanglah dalam jam 5 petang. Enak dan nyaman.