“Datang nanti ya, kita beraya sama-sama”

“Datang nanti ya, kita beraya sama-sama”

Pagi tadi saya bersama kepimpinan Pemuda meluangkan masa melawat Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang Tua-Tua Islam Titian Abadi (PEKITA) yang terletak di Taman Kinta Perdana, Lahat, Ipoh.

Rumah ini didiami oleh kira-kira 25 orang warga tua beragama Islam dari seluruh negara.
Rata-rata penghuni kediaman ini adalah warga tua yang uzur.

Mereka hanya menghabiskan masa seharian di atas katil. Ketika menyantuni mereka, saya menyelami kisah dan isi hati mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Mereka ini adalah dari kalangan yang berjaya. Ada daripadanya bekas guru, bekas ketua kampung, bekas kakitangan RTM dan sebagainya. Namun, mereka ditakdirkan untuk menghabiskan sisa hidup mereka di rumah orang-orang tua Islam itu.

Biarpun menghuni rumah tersebut, majoriti daripada mereka masih mempunyai waris dan ahli keluarga.

Ketika bersembang, mereka menceritakan latar belakang anak-anak mereka yang berjaya dalam pelbagai bidang. Betapa bangga dan gembiranya mereka berkongsi kisah anak-anak mereka yang berjaya.

Hasnul bertanya khabar dengan penghuni di rumah warga emas di Lahat, Ipoh

Namun, ada juga dari kalangan warga tua ini telah kehilangan suami, isteri dan keluarga terdekat. Oleh yang demikian mereka memilih dan selesa untuk tinggal di rumah Rumah Orang Tua-Tua Islam Titian Abadi itu.

Menghampiri Syawal tidak lama lagi, saya bertanya dengan mereka, “Beraya dengan siapa?”. Mereka menjawab, sudah bertahun-tahun beraya di sini.

“Datanglah sini raya nanti ya, kita beraya sama-sama,” kata makcik Zaidah kepada saya. Beliau berasal daripada Kampung Sayong Kuala Kangsar, sebelah kampung saya.

Gembira dapat bersembang dengannya yang masih mempunyai ingatan sangat baik, Makcik Zaidah adalah penghuni paling lama di rumah tersebut.

Pada usia 82 tahun, beliau masih mampu untuk berpuasa dan menjalankan tanggungjawab kepadaNya.

Dalam lawatan itu, saya telah menyampaikan sumbangan kewangan dan kelengkapan dapur kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang Tua-Tua Islam Titian Abadi (PEKITA) yang bertanggungjawab menguruskan rumah tersebut.

Saya melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada persatuan tersebut yang sanggup berkorban dan berkhidmat kepada warga tua ini dalam menghabiskan sisa kehidupan mereka.

Semoga Allah merahmati usaha mereka. Ayuh kita sama-sama membantu dan memberi sokongan kepada persatuan ini meneruskan usaha mereka membantu insan-insan yang sangat memerlukan ini.

Hasnul menyampaikan sumbangan kewangan dan kelengkapan dapur kepada PEKITA.