Datin Alyah perasan perangai Tok Ram banyak berubah selepas ada Izzara

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi Datin Alyah dan suami Datuk Ramli MS baru sahaja mengambil anak angkat pada Jun lalu selepas 11 tahun usia perkahwinan mereka masih belum dikurniakan zuriat.

Alyah mengakui kehidupannya dengan suami banyak berubah sejak kehadiran anak angkat mereka yang diberi nama Nur Izzara.

Ramli atau mesra disapa sebagai Tok Ram paling menunjukkan perubahan ketara kerana puteri kesayangan itu lebih rapat dan manja dengan Tok Ram di sebalik perwatakannya yang serius dan tegas.

Jika sebelum ini banyak menghabiskan masa di studio, tetapi kali ini Tok Ram lebih kerap menghabiskan masa dengan Izzara.

Bahkan kata Alyah, Izzara akan meragam jika Tok Ram keluar bekerja untuk tempoh yang lama.

“Sekarang, kalau ayah dia pergi kerja untuk tempoh yang sangat lama, anak saya akan meragam. Sampailah pembantu rumah saya suruh ambil baju Tok Ram baru dia boleh tidur dan tenang.

“Tok Ram pun sekarang nampak lebih kerap keluar masuk bilik untuk melihat si kecil itu. Kalau tidak, akan duduk saja dalam studio buat kerja,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Tambah Alyah, kehadiran Izzara turut mengubah kehidupannya 100 peratus dan menganggap itu adalah anugerah yang tidak ternilai buat mereka.

Untuk info, Alyah dan Ramli telah mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2013

Baca juga: Pembekal serai kongsi rahsia pokok tumbuh ‘gemuk-gemuk’, rupanya kena pilih benih macam ini!