Malaysia Dateline

Datin didenda RM30,000, penjara sehari selepas mengaku salah menyamar jadi Supol Khalid

Seorang datin hari ini dijatuhkan hukuman denda RM30,000 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperdaya sebuah firma arkitek .

Beliau didakwa di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan selepas menipu arkitek itu tentang kelulusan DBKL terhadap satu projek pembangunan dan mendapatkan wang dari arkitek itu.

Datuk Mokhtar bin Harun dan isterinya Datin Noorizan binti Abd Shukor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di mana Noorizan telah mengaku salah dalam perbicaraan hari ini selepas beberapa kali kes tertangguh.

Penipuan datin ini dan suaminya telah mengakibatkan bekas Setiausaha Politik (Supol) Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad iaitu Azli Yusof telah ditahan oleh polis dan rumahnya digeledah pada bulan Mei 2020 lalu.

Turut ditahan adalah suami isteri tersebut selepas laporan polis dibuat oleh firma arkitek berkenaan.

Dalam perbicaraan hari ini, Azli juga dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwa. Namun beliau tidak sempat memberikan keterangan selepas datin itu mengaku salah.

Pasangan suami isteri berkenaan kini berdepan dengan dakwaan kes jenayah tipu dan kesnya sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada bulan May 2020 lalu, media melaporkan tiga individu iaitu sepasang suami isteri berusia 66 dan 43 tahun serta bekas setiausaha politik kepada bekas seorang menteri berusia 53 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan berhubung kelulusan perancangan pembangunan.

Khalid pula mengesahkan bekas setiausaha politiknya direman polis semalam susulan aduan sebuah syarikat arkitek yang mendakwa menerima DO (Development Order) palsu daripada seorang ‘broker’.

“Saya tidak boleh menceritakan lebih daripada itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis. Saya diberitahu ‘broker’ berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama ini,” katanya menerusi perkongsian di laman Twitternya ketika itu.

Polis telah membebaskan Azli selepas siasatan mendapati pasangan berkenaan menipu arkitek berkenaan dengan menggunakan nama Azli, kononnya Azli menggunakan DBKL untuk meluluskan projek itu.

Ia dilakukan dengan cara pasangan suami isteri itu menyamar sebagai Azli ketika berhubung melalui whatapps untuk menipu arkitek berkenaan kononnya projek yang mereka usahakan telah diluluskan oleh DBKL yang terletak di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.