Datuk Aishah kongsi kejadian mistik, nasihat jangan benar orang tepuk belakang tanpa sebab

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, kejadian ditepuk di belakang badan oleh individu tidak dikenali boleh menjadi punca penyanyi popular iaitu Datuk Aishah mengalami pengalaman mistik suatu ketika dahulu.

Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, penyanyi berusia 59 tahun terbabit mendedahkan bahawa insiden misteri tersebut berlaku di sebuah kedai makan di mana lokasinya tidak didedahkan.

Jelas Aishah, situasi di kedai makan tersebut sudah terasa ganjil sejak awal apabila pemilik premis berkenaan mula bercakap mengenai sihir dan ‘mandrem’ secara tiba-tiba sahaja tanpa ditanya.

“Assalamualaikum. Nak ceritakan kenangan saya bersama kawan-kawan. Masa itu, kami dalam kumpulan lima atau enam orang wanita pergilah berkhemah di satu negeri ini. Kemudian, kami pergi ke sebuah kedai makan.

“Kami nak bungkus makanan. Selepas itu, terjumpalah dengan pemilik kedai makan tersebut. Ketika kami ambil gambar dan bersembang antara satu sama lain, tiba-tiba pemilik kedai makan itu bercakap juga.

“Katanya, ‘dekat negeri ini orang selalu tuduh kita mandrem oranglah, main sihirlah’. Sedangkan kami tak ada langsung bercerita mengenai perkara itu. Tiba-tiba sahaja dia cakap,” kongsi Aishah.

Aishah dan semua rakan-rakannya rasa bertambah tidak selesa apabila pemilik kedai makan itu terus mendekati malah mengekori mereka ke kereta selepas makanan selesai dibungkus.

Malah individu terbabit turut berusaha untuk menyentuh Aishah sebelum bahagian belakang badan penyanyi itu berjaya ditepuk walaupun sudah dihalang oleh rakan-rakannya.

“Paling tak selesa, dia terlalu dekat dengan saya. Kami nak beredar cepat dari situ selepas dapat makanan. Tiba-tiba dia ikut juga. Kawan-kawan sudah berdiri di sekeliling saya supaya dia tak dapat dekat.

“Tetapi apabila sampai ke kereta, pemilik premis itu dapat juga berdiri dekat sebelum dia menepuk belakang badan saya. Kawan saya pun kena tangan dia. Kami cepat-cepat masuk kereta dan saya memandu pulang ke tempat penginapan.

“Waktu itu, saya sudah mula rasa panas dan bawa kereta macam zombi. Kawan yang kena tangan itu juga terasa panas. Alhamdulillah sampai juga ke tempat penginapan. Kebetulan ada kakak yang jaga kami itu memang berasal dari negeri tersebut,” katanya.

Pelantun lagu Janji Manis Mu itu bagaimanapun bernasib baik berikutan ‘kakak’ yang menjaga kumpulan tersebut boleh berubat dan merasa lega selepas muntah-muntah sebaik meminum air bacaan diberikan kepadanya.

Dalam perkongsian yang sama, Aishah turut memberikan pesanan kepada orang ramai untuk tidak membenarkan sesiapa terutamanya individu tidak dikenali menepuk belakang badan tanpa sebarang sebab.

Baca juga: Anggap perkahwinan sebagai satu pinjaman, Fasha Sandha tak leka dalam kerjaya, suami tetap keutamaan