Malaysia Dateline

Datuk cabul cucu tiga kali hingga koyak selaput dara

Bukan sekali tetapi siasatan awal polis mendapati seorang datuk mencabul cucunya yang berusia lapan tahun sebanyak tiga kali.

Suspek berusia 74 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.50 petang semalam di rumah keluarganya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata warga emas itu disiasat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Mengikut peruntukan itu, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dengan sebatan.

“Kita akan dapatkan perintah reman dari Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini,” lapor BH.

Menurut Fariz, hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan pada selaput dara alat sulit mangsa yang diakibatkan benda tumpul.

“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan susulan dari pakar kaunseling dari Unit Psikiatri HSA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek warga emas dipertanggungjawab menjaga tiga cucunya yang berusia 10, lapan dan empat tahun ketika ibu bapanya bekerja.

Bagaimanapun, Fariz berkata, suspek mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang daripada cucunya ketika ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar berniaga.

“Bapa mangsa membuat laporan polis selepas mendapat tahu anaknya dicabul ayahnya sendiri di sebuah bilik di kediaman keluarga berkenaan di Skudai.

“Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa, kanak-kanak itu dibawa ibunya melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan,” jelasnya lagi.