Malaysia Dateline

Datuk Johari Abdul: Dari reformis ke Speaker Dewan Rakyat

Pelantikan Datuk Johari Abdul sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan mendapat 147 undi menghampiri dua pertiga majoriti anggota Dewan Rakyat merupakan satu pencapaian hebat pada ketika parti yang mencalonkannya, Pakatan Harapan memiliki 82 kerusi.

Sebelum menjawat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari merupakan ahli politik yang amat berpengalaman dan melalui pelbagai jatuh bangun dalam kerjayanya.

Kerjaya politik beliau bermula di dalam Pemuda Umno. Beliau yang mempunyai ijazah sarjana Pengajian Strategik dari University of Lancaster itu juga pernah memegang jawatan Pengarah Biro Tata Negara (BTN).

Pada 1990an Johari berkhidmat di bawah Tun Daim Zainuddin yang ketika itu menguasai Umno Kedah.

Sewaktu menceritakan pengalaman awal politiknya pada majlis amal ‘Sponsor a Constituency’ pada 2016 lalu Johari mengakui beliau pernah dan memiliki beberapa perniagaan ketika di dalam Umno sebelum semuanya hilang sebaik sahaja memilih untuk bersama gerakan Reformasi pada 1998.

“Saya ceburi bidang perniagaan dan bekerja dengan seorang tokoh yang cukup berkuasa, Daim (Zainuddin) dalam membangunkan Langkawi. Ketika itu saya menyertai Umno

“Saya berhubungan rapat dengan ahli-ahli politik, saya agak selesa memiliki kilang gula-gula yang besar di Pulau Pinang. Saya juga banyak mengembara.

“Apabila perbalahan antara (perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (timbalannya) Datuk Seri Anwar Ibrahim tercetus, saya memegang jawatan penting dalam Umno, dan saya juga adalah proksi untuk beberapa pemimpin terkemuka dalam syarikat mereka,” kata Johari dipetik Malaysiakini.

Bagaimanapun keputusan untuk bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ketika itu sebagai penggerak awal Parti Keadilan Nasional menyebabkan beliau hilang kemewahan dan pernah berniaga secara kecil-kecilan bagi mencari nafkah.

Johari meneruskan kerjaya politik dengan mencuba nasib bertanding di Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 dan PRU 2004 pula bagi DUN Bakar Arang, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional.

Namun selepas itu Johari menukar taktik dengan melakukan lebih banyak khidmat masyarakat serta lebih kerap berada di Sungai Petani selepas 2004.

Strategi beliau berjaya apabila pada PRU 2008 menang kerusi Sungai Petani dengan memperolehi 33,822 undi berbanding lawannya Datuk Seri Zainuddin Maidin hanya 24,441 undi.

Dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johari pernah memegang jawatan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah beberapa kali dan yang terakhir pada sesi 2019-2022.

Beliau juga pernah menduduki beberapa posisi penting PKR dan merupakan pemimpin kanan yang dirundingi dalam banyak hal berkaitan strategi parti.

Johari merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani untuk 3 penggal berturut-turut dan menyerahkan kerusi tersebut kepada anaknya Dr Mohd Taufiq Johari pada PRU-15 lalu.

Dalam PRU ke-14, Johari turut bertanding kerusi DUN Gurun dengan strategi untuk merampas sebanyak mungkin kerusi DUN Kedah bagi membentuk kerajaan negeri.

Kedah berjaya ditawan dan nama Johari disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar namun kemudian diputuskan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik sebagai MB.

Nama Johari juga kemudian dispekulasi sebagai calon Speaker Dewan Rakyat tetapi PH mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker.

Selepas menunggu untuk 5 tahun akhirnya Datuk Johari Abdul diangkat sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu pada 19 Disember 2022.

Baca juga: Johari Abdul dilantik Speaker Dewan Rakyat

Baca juga: ‘Rumah tenggelam habis, hujan lebat luar biasa, orang kampung ramai terperangkap’