Malaysia Dateline

Datuk Paimuzi, Ketua Pengarah Jakim meninggal dunia

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya telah meninggal dunia jam 1 tengahari tadi di Hospital Sungai Buloh, Selangor akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim, jenazah Al-Marhum akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengkebumian pada petang ini.

“Semoga roh al-marhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-fatihah,” kata kenyataan itu hari ini.

Beberapa hari lepas, Mujahid dalam satu kenyataannya memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan Paimuzi selepas koma di Hospital Sungai Buluh.

Paimuzi, bekas Timbalan Ketua Pengarah Jakim telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Jakim pada 2019 ketika Datuk Seri Dr Mujahid Yusof adalah Menteri Agama.

Bekas pelajar Akademi Islami, Universiti Malaya itu adalah anak kelahiran Kampung Kubang Panjang, Marang, Terengganu pada tahun 1961.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya. Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM.

Berpengalaman selama lebih tiga dekad di dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam dan telah memegang beberapa portfolio penting sepanjang kerjayanya.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah sebagai Pengarah di beberapa bahagian di JAKIM iaitu Pengarah JAKIM Sabah pada tahun 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia tahun 2008, Pengarah Darul Quran tahun 2010 dan Pengarah JAWI tahun 2013.

Pada 05 Oktober 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM. Kemudian pada 01 Mei 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pada 01 April 2018, beliau sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM sehingga 26 Disember 2019.