Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu sahkan istana lucutkan semua gelaran MB

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu sahkan istana lucutkan semua gelaran MB

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Menurut Bernama, perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu hari ini

Kenyataan itu berbunyi: “Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.

“Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu,”

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

Sabtu lalu, Malaysia Dateline telah melaporkan, Razif menyerahkan semua darjah dan bintang kebesarannya pada Jumaat selepas dimurkai oleh pihak Istana ketika beliau mengiringi Tuanku Sultan Terengganu menunaikan solat Jumaat.

Ketika dihubungi, seorang pemimpin Umno dari Terengganu yang mempunyai hubungan yang baik dengan Istana mengesahkan berita ini.

“Comfirm. Cuma belum ada kenyataan rasmi dari istana sahaja.

“Tuanku murka dengan ucapan MB ketika mengiringi Baginda solat Jumaat semalam. Lepas Jumaat beliau serah semua darjah kebesaran,” kata laporan itu..

TAGS