Malaysia Dateline

Datuk Seri berparti dadah dengan 24 individu lain, banglo di Janda Baik jadi ‘sarang’

Seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 46 tahun ditahan bersama 24 individu lain termasuk warga asing ketika leka berhibur berparti dadah awal pagi tadi.

Mereka ditahan di sebuah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong dalam serbuan polis jam 1 pagi hasil maklumat daripada orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya menemui dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.

“Hasil ujian saringan awal air kencing, keputusan menunjukkan semua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Jelasnya, mereka terbabit yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita dengan lapan daripadanya adalah warga asing, berumur antara 18 hingga 64 tahun.

Menerusi kenyataannya hari ini, polis sedang mengenal pasti penganjur parti yang menyewa khas sebuah banglo dengan harga RM15,000.

Zaiham memaklumkan kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Baca juga Perasuah di negara kita dipandang mulia, pemuda di Sweden ini saksi kelas pekerja dihormati

Baca juga “Spesis kura-kura duduk lorong kiri la” – pemandu dikecam salahkan kereta di lorong kiri laju sangat