Malaysia Dateline

‘Datuk Seri tidak pernah bersalah dan terlalu suci untuk kami’, warganet berseloroh selepas Najib persoal Rafizi isu songlap dana LCS

Rata-rata warganet secara berseloroh menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah bersalah dan terlalu suci ketika hangat isu kapal tempur pesisir (LCS).

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu membangkitkan persoalan sama ada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu menuduhnya berpakat untuk “songlap” dana projek perolehan LCS.

Najib yang menghadapi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd itu menegaskan dia sama sekali tidak terlibat dengan skandal berkaitan penukaran reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.

Oleh sebab itu, katanya, dia tiada bantahan jika bekas panglima Laut, Boustead dan syarikat Jerman disiasat.

“Datuk Seri tidak pernah bersalah dan terlalu suci untuk kami,” sindir Mohd Fadzli Mohd Ramly.

Dalam masa sama, ramai menggesa supaya pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan projek pembinaan enam LCS itu diserahkan kepada pihak berwajib.

“Serah kepada kewibawaan SPRM dalam menangani isu ini berasaskan laporan PAC,” kata Ahmad Othman pula.

Semalam, Rafizi mendakwa Najib satu-satunya pimpinan politik yang berkuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk LCS selain mempunyai sejarah hubungan dengan sub-kontraktor DCNS.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Najib lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan ketika itu iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.

Dakwa kata Rafizi lagi, Najib mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS, dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales, untuk projek-projek besar negara.

Sehubungan itu, netizen ada yang lebih mempercayai Rafizi berbanding Najib yang dikenali dengan imej ‘Bossku’.

“Kami percaya Rafizi sebab terbukti dalam kes 1MDB. Najib cakap dermalah, itulah, inilah, akhirnya masuk akaun sendiri,” tempelak K-ches Sim.

Sehubungan itu, rata-rata rakyat menuntut agar isu ‘kapal halimunan’ yang ‘menelan’ RM6.083 bilion itu dibahaskan di Parlimen sekiranya Najib berani.

PAC baru-baru ini mendedahkan, tiada satu pun LCS TLDM disiapkan walaupun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd. secara rundingan terus.