Datuk Seri Vida bersedia taja semula Kelantan FC, mahu Kacak jadi pengurus

Oleh KIM SYAZIE

Usahawan kontroversi, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida meluahkan hasratnya untuk ‘menyelamatkan’ Kelantan FC.

Mengakui dirinya kasihan, Datuk Vida sedar akan pelbagai masalah yang melanda pasukan tersebut yang turut menjejaskan prestasi pemain.

Oleh yang demikian, bekas penaja The Red Warrior (TRW) itu bersedia menaja semula dengan harapan dapat mengembalikan kegemilangan pasukan itu.

Malah, Datuk Vida juga merancang ingin melantik anaknya iaitu Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau Kacak sebagai pengurus pasukan.

“Saya akan tengok keadaan apabila nak berjumpa dia (pemilik Kelantan FC). Risau jumpa sekarang, Zamsaham dapat publisiti yang dia nak.

“Saya kena berunding dengan mereka sebab bukan saya akan uruskan tapi Kacak. Saya akan beri kepada orang yang tahu pasal bola seperti Kacak.

“Kalau kena caranya, saya akan ambil semula Kelantan. Seperti keadaan sekarang, kasihan saya tengok,” luah Datuk Vida.

Datuk Vida pernah menaja skuad pantai timur itu dengan nilai tajaan sebanyak RM16 juta untuk tempoh dua tahun, iaitu pada 2016 dan 2017.

Malah, Stadium Sultan Muhammad IV juga bertukar ‘wajah’ dan dihiasi dengan warna ikonik Datuk Vida iaitu merah jambu sebagai syarat penajaan.

Terdahulu, pemilik Kelantan FC, Zamsaham atau Norizam Tukiman baru-baru ini dihimpit kontroversi kerana menahan gaji pemain.

Beliau mendakwa, tujuannya menahan gaji adalah untuk memberi motivasi kepada pemain supaya berusaha memburu kemenangan.

Baca juga: Syarikat insurans tawar kerja kosong sebagai ‘penari Tiktok’ dengan gaji sehingga RM10,000