Datuk Seri Vida pula dedah kenapa dah tak nak taja Gegar Vaganza, “dah faham kan kenapa saya merentan dulu”

Oleh KIM SYAZIE

Jika pembaca masih ingat, usahawan sensasi, Datuk Seri Vida pernah menjadi penaja utama Gegar Vaganza pada 2017. Dia bagaimanapun tidak lagi menaja program tersebut untuk tahun berikutnya.

Susulan pendedahan pemilik susu Farm Fresh, Azmi Zainal bahawa pihak penerbit All Star Gegar Vaganza yang cuba memendekkan slot iklan untuknya, Vida juga tampil buka mulut berkongsi rasa yang sama.

Vida meninggalkan komen di sebuah portal hiburan mengatakan itulah apa yang dia alami selama menjadi penaja kepada program tersebut.

Katanya, ia juga menjadi sebab mengapa dia tidak mahu menaja program itu lagi kerana dia tidak boleh banyak bercakap kerana masa yang diberikan hanya 1 minit sahaja.

“Ha ha… baru rasa. Inilah sebab saya tak nak sponsor. Nak cakap banyak tak boleh. Hanya 1 minit je. Tu pun tak boleh promote. Maka lebih baik simpan pitih.

“Dah faham kan kenapa saya selalu merentan dulu,” komennya.

Semalam, Azmi meluahkan rasa kesal dan mendakwa produksi program realiti ASGV sesuka hati memendekkan segmen yang dikhaskan untuk mempromosi produk susunya.

Azmi berkata, selaku penaja, beliau akan diberi satu minit untuk mempromosi produk susu keluaran syarikatnya sewaktu rancangan berlangsung.

Bagaimanapun dakwanya, klip satu minit yang sudah pun disediakannya telah dipendekkan tanpa pemberitahuan.

Azmi berkata, pembabitan mereka sebagai penaja bagi program itu bukanlah sekadar meraih populariti tapi sebaliknya untuk meningkatkan jualan produk.

Meskipun iklan yang disiarkan hanya satu minit sahaja ketika acara berlangsung, pihak produksi juga diminta bertanggungjawab dalam menjaga rakan penaja sepertinya ini.

Baca juga: Bos susu ‘stress’ taja Gegar Vaganza, angin satu badan lepas penerbit suka-suka pendekkan slot iklan susu