Datuk Tuan Ibrahim, tabahkanlah hatimu

Datuk Tuan Ibrahim, tabahkanlah hatimu

Mutakhir ini pemerhati dan pengkritik politik mendapat  sumber yang bervariasi untuk mereka diskusikan. Cuma yang menarik perhatian ialah pendapat dan cadangan yang disuarakan oleh orang nombor 2 dalam PAS iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selaku timbalan presiden, beliau telah mengeluarkan sebuah tulisan yang dikeluarkan 2 bahagian berbeza. Sempat juga saya membuat respon dari hasil tulisan bahagian 1. Saya melihat tulisan pertama itu dengan sisi yang mungkin sedikit berbeza dari teman-teman seperjuangan lain.

Dari pengamatan hasil respon saya terhadap tulisan DTITM itu, ada yang nyata menolak terus cadangan yang dilemparkan. Tak kurang juga ada yang menerima tetapi meletak syarat. Benar, pasti ada sebab mengapa ini semua berlaku. Mereka mahu mengelak untuk rasa perit dan pedih ditohmah berulang buat kesekian kalinya.

Cuma dalam tulisan ini ada sesuatu yang menjadi fokus saya. Mungkin ia akan hadir dalam bentuk persoalan atau mungkin dalam bentuk pendapat yang berhak ditolak dan dibahas.

MENGAPA TULISAN BAHAGIAN 1 DAN 2 TIDAK BERSAMBUNG?

Jika diamati tulisan DTITM dalam bahagian 1 dan 2 seperti 2 set tulisan yang tidak bersangkut paut. Tulisan pertama beliau melontar pendapat untuk pembangkang mengenepikan perbezaan yang hanya ada sedikit. Sedangkan ruang untuk kerjasama berpaksikan kepentingan rakyat itu jauh lebih luas hamparan ruang dan peluangnya.

Namun apabila ditelusuri tulisan bahagian 2 pada keesokannya, tidak dapat saya hadami apa yang ditulis dan cuba sampaikan. Malah saya dapat merasakan tulisan itu ditulis dalam keadaan yang seperti dipaksa-paksa. Bayangkan apabila mula-mula kita mengajak pembangkang bersatu dan kemudiannya kita bercakap tentang prinsip parti kita sahaja.

Saya kira itu perkara yang akan dielak oleh setiap ahli politik supaya tidak terlabel dengan pelbagai tanggapan. Ada juga saya berbincang dengan beberapa orang teman, “point” saya pada mereka, yakinilah nanti akan ada suara-suara yang akan hadir mengatakan itu hanya pendapat peribadi DTITM dan ia bukan pendirian parti.

RESPON DARI PIMPINAN PAS

Selepas beberapa jam tulisan ke 2 diterbitkan, maka dapat dibaca laporan yang memetik kenyataan pimpinan PAS terhadap “pendapat peribadi” timbalan presiden mereka mula berselerak. Malah ada yang merasakan bahawa merekalah DTITM sebenar kerana telatah mereka menjawab atau menghurai tulisan tersebut seperti pendapat yang dikarang mereka.

Ada juga terus mahu mematikan langkah DTITM dengan mendakwa PAS tidak akan berkerjasama dengan Pakatan Harapan(PH). Jika berkerjasama pun tidak mahu apatah lagi mahu duduk dibawah 1 bumbung. Lalu hadirlah kenyataan yang PAS boleh berkerja dengan sesiapa yang boleh mengikut acuan mereka tidak kira sama ada BN atau PH.

Apakah si penutur ini lupa setiap parti pasti punya prinsip perjuangan? Sudah tentu acunya berbeda. Tinggal lagi jika mahu menyiapkan hasil yang sama walau menggunakan acu yang lain ia bukanlah sesuatu yang janggal. Mungkin ada yang merasakan ianya tradisi dan perlu dikekalkan dan menganggap jadi dosa bila ia dikontemporarikan.

INILAH CABARAN, PASTI ADA JALAN KELUARNYA

Itu antara mesej akhir kepada saya. Saya tetap doakan beliau terus rebel dari dalam. Agar kekuatan itu tersusun melawan rentak mereka dalam partinya yang mahu terusan beri nyawa dan nafas kepada UMNO.

Sesekali saya menebak bahawa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh “kuasa besar” dalam parti sepertinya tidak menyambut “pendapat peribadi” beliau, inilah cabaran, insyaAllah pasti ada jalan keluarnya.

Tun Mahathir Mohamad dan Dato Seri Anwar Ibrahim tirut mengangkat cadangan dibuat oleh DTITM. Sedang mereka sedar pimpinan PAS ada yang terus membina alasan demi alasan untuk tidak bersama PH atau pembangkang yang lain. Maka dengan siapa mereka mahu bersama?

APAKAH PENDIRIAN SEBENAR PAS?

Andai benar ianya pendapat peribadi DTITM, apakah pendirian sebenar PAS? Jika acuan yang jadi permasalahan, mengapa mereka boleh beracu dengan pendapat hudud bukan sesuatu keutamaan bila disebut oleh Ikatan yang menjadi rakan blok ketiga mereka ? Semua alasan yang keluar amat mudah dibaca dan dinilai oleh rakyat bawahan yang tidak rela membiarkan diri mereka diindoktrinasi oleh orang politik kelas atasan.

Atau terus bersikap menyalahkan orang lain sambil dilapik oleh prinsip ego individu dan parti. Sebenarnya bukanlah disebabkan pendirian DTITM itu tidak mampu dijadikan pendirian parti walau bukan hasil persetujuan bersama, tetapi ia bertukar status sebagai pendapat peribadi bilamana ia menyanggah pendirian sebenar “parti”.

Wallahualam.

 

COMMENTS

Wordpress (0)