Malaysia Dateline

Daulah terpendam lambatkan agenda Malaysia baharu, kata Kit Siang

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata daulah terpendam merupakan sebab utama mengapa pembaharuan institusi bagi Malaysia Baharu tidak dapat dilaksanakan dengan pantas sebagaimana yang diharapkan.

“Daulah terpendam ini akan menjadi bertambah buruk dan menjahanamkan jika orang ramai yakin bahawa kerajaan PH adalah bersifat sementara, sebagaimana yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin Umno, musnah dan hancur dalam masa beberapa bulan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Lim berkata PH perlu meyakinkan orang ramai bahawa Putrajaya dalam keadaan stabil, kukuh dan komited kepada penganjuran lima tonggak janji utama buat Malaysia Baharu, sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, supaya perjuangan bagi menawan hati dan minda daulah terpendam boleh dimenangi.

Penasihat DAP itu berkata demikian semasa merujuk kepada kenyataan Menteri Luar yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah bahawa daulah terpendam sedang cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan PH.

“Kita mahukan daulah terpendam menyokong kebangkitan Malaysia Baharu, bukannya yang merancang untuk menyekat dan menundukkan pembaharuan institusi, politik dan urus tadbir, kerana tanpanya tidak akan ada Malaysia Baharu,” tambahnya.

Daulah terpendam merujuk kepada “negara dalam negara”, yakni “tangan-tangan ghaib” yang mempunyai kepentingan dan mengajukan agendanya sendiri di luar proses pembuatan keputusan kepimpinan negara, dan di luar dari kerangka politik nasional.

— BERNAMA