Malaysia Dateline

Daulat Tuanku, kata AMANAH selepas Yang Dipertuan Agong tolak istihar darurat

AMANAH menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang menolak permohonan pengisytiharan darurat yang dipohon oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya meyakini bahawa keputusan ini telah dibuat dengan penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambilkira kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya dan kelangsungan kemakmuran negara.

“Parti AMANAH menjunjung kasih titah Baginda dan akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” kata Mohamad dalam kenyataan itu.

Sementara itu, DAP berkata, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kerana memutuskan untuk tidak mengisytiharkan darurat selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini.

“Sistem raja berpelembagaan kita terbukti sebagai satu benteng utama mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia,” kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, semua rakyat Malaysia, terutamanya 221 Ahli Parlimen, perlu bersatu padu untuk membentuk usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

Laporan terkini menunjukkan penurunan 465 kes jangkitan Covid-19 (sejumlah 823 kes untuk hari ini berbanding dengan 1,288 kes semalam) yang sepatutnya menjadi berita yang memberansangkan terutamanya para petugas barisan hadapan, dan seluruh rakyat Malaysia, untuk menggandakan usaha dalam mendatarkan lekuk penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

Perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah yang kini menjadi pusat penularan utama wabak ini, katanya.

Kata beliau, semua Ahli-ahli Parlimen perlu fokus kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam berhadapan dengan bencana wabak Covid-19 “sekali dalam seabad” ini.

Sebelum ini, hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” katanya.