Malaysia Dateline

Daulat Tuanku, rakyat junjung titah Agong cadang kerajaan Perpaduan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong,

Patik dan hamba rakyat memahami betapa sukar dan getirnya Tuanku menghadapi kerenah ahli politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sebagai pengundi kami juga amat simpati, namun Tuanku sebagai payung negara dan pelindung bagi rakyat berkewajipan besar lagi di sisi Allah SWT dengan melebihi hamba rakyat.

Kebiadapan yang melampau

Apabila mendengar sidang media (press conference) dari mulut Tan Sri Mahiaddin selepas menghadap Tuanku mengenai proses pembentukan kerajaan, beliau dengan terang-terangan menyatakan menolak syor Kebawah Duli untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Hamba rakyat yang patuh dan taat kepada DYMM Tuanku amat menyanjung syor penubuhan Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan tanpa syarat.

Semua partubuhan atau kelompok politik adalah dianggotai rakyat Tuanku yang sah di sisi Perlembagaan. Dan inilah yang terbaik bagi negara, rakyat dan akan mendapat sanjungan di semua peringkat.

Namun nampaknya tiada minat dalam kalangan mereka untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang strategik, demi rakyat dan demi negara.

Penganalisis antarabangsa menjangkakan akan berlaku kemelut ekonomi dengan pasaran saham berubah tidak menentu dalam tempoh terdekat.

Maka, yang terbaik adalah penubuhan kerajaan rakyat iaitu kerajaan perpaduan yang diketuai oleh sebuah pakatan atau kelompok yang mendapat undi terbanyak dalam PRU15, dengan Kabinet diwakili oleh semua parti-parti utama.

Kabinet Perpaduan ini harus strategik, kecil dan “functional cabinet”.

Menyanggah syor Tuanku amat menyedihkan hamba sebagai rakyat. Inilah kebiadapan melampau dalam budaya Melayu yang dibina penuh kesopanan dan kesusilaan.

Mengejar Akuan Bersumpah (SD) untuk berkuasa

Umno-BN telah mengambil sikap kurang bermaruah dengan mengambil sikap ‘konon’ tidak berpihak.

Namun dari mana Mahiaddin mendapatkan ‘kononnya’ 115 SD jika tidak terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen Umno-BN?

Maka semangat mengenai Akta Anti Lompat Parti yang jelas rohnya untuk mengelak individu politik melompat-lompat atau mengenepikan blok mereka semasa PRU adalah tidak hormati.

Maka di manakah di hati mereka prinsip Rukun Negara: Keluhuran Perlembagaan Kedaulatan Undang-undang.

Setelah akta tersebut mendapat perkenan Kebawah Duli Tuanku dan diwartakan, seharusnya yang paling utama mengamalkannya adalah dalam kalangan Ahli Parlimen dari parti politik.

Tidak syak lagi mereka yang menandatangani SD sebelum titah Tuanku adalah tindakan rakus untuk berkuasa semata-mata.

Adakah usaha mengejar SD secara individu ini tanpa berunding dengan blok politik tidak disertakan dengan sebarang habuan pangkat dan kedudukan? Mustahil ia berlaku demi negara dan rakyat.

Menangguh sesi menghadap

Nampaknya selepas Mesyuarat Pimpinan Utama Barisan Nasional pada malam 22 Nov 2022, mereka memohon sembah sesi menghadap ditangguhkan.

Mereka ini tampak tidak peka terhadap rakyat dan keperluan menubuhkan kerajaan.

Umno-BN yang telah mendapat tamparan di Perlis, Terengganu, Kedah, hampir kehilangan Pahang, sepertinya terus bongkak dan mendabik dada.

Umno-BN harus sedar sikap sombong, rakus, haloba, bongkak sesetengah kepimpinan dengan retorik ini akan menyebabkan Umno pupus dan lenyap.

Ini pernah diramalkan sendiri oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa menjelang 2020, Umno akan lenyap dan pupus di persada politik negara.

Adalah sangat memalukan bagi pihak hamba rakyat dengan permohonan penangguhan ini. Bibit-bibit seolah-olah telah bermula.

Mereka tidak perihatin dan tidak cakna rakyat. Rakyat amat runsing dengan kebiadapan yang makin melampau-lampau ini akan merosakkan instutusi Raja-Raja Melayu dan institusi negara.

Prinsip-prinsip Rukun Negara yang kami hamba rakyat mahu dipertahankan dan tidak mahu ahli politik merobeknya iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Ampun Tuanku, patik dan ramai hambat rakyat mahu semua pihak akur dengan syor Kebawah Duli Tuanku supaya sebuah kerajaan yang stabil, bertatakelola baik, tidak memperdagangkan agama, kerajaan rakyat berbilang kaum serta rentas timur dan barat ditubuhkan. Dan yang terbaik seperti syor Kebawah Duli Tuanku iaitu Kerajaan Perpaduan.

Semoga Allah S.W.T memelihara Tuanku dengan limpah rahmat yang berterusan. Allah Pelihara Tuanku.


(*) Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pendapat dan pandangan penulis dan bukan melambangkan pendirian akademi.

Baca juga: Isu Kristian- Lebih 23,000 tandatangan petisyen desak GPS tolak PN yang ‘taksub kaum’

Baca juga: Anak tertua walaupun baru lahir, pasangan kembar lahir daripada embrio beku berusia 30 tahun