Malaysia Dateline

Daulatkan perjuangan rakyat banteras salah guna kuasa, perlukah Pas sokong penyangak?

Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH Nasional mengucapkan tahniah dan syabas kepada rakyat yang telah mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14. Hasil daripada perjuangan itu, beberapa orang penyangak wang negara telah pun dibawa ke muka pengadilan.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun disabitkan oleh mahkamah berkaitan kesalahan salah guna kuasa yang membabitkan SRC International iaitu salah sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Begitu juga, pembayaran semula wang negara berjumlah USD3.9 billion oleh Goldman Sachs juga menunjukkan bahawa cerita 1MDB ini bukanlah satu cerita dongeng.

Sebaik sahaja PH mengambilalih tampuk pemerintahan, kerajaan PH telah membongkar dengan bersungguh-sungguh kes 1MDB dan pensabitan Najib ini adalah satu permulaan kejayaan hasil usaha pemimpin PH dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Tindakan Perdana Menteri melantik Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan memberikan tugasan khas kepadanya untuk membongkar dan mendakwa pesalah 1MDB adalah tindakan tepat yang memberikan makna besar kepada manifesto PH.

Kerajaan PH juga telah membersihkan institusi penting negara iaitu institusi Peguam Negara dan kehakiman dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kedua-dua institusi tersebut.

Rakyat masih tidak lupa bahawa sebelum PH mengambilalih tampuk pemerintahan, Peguam Negara sebelumnya iaitu Tan Sri Apandi Ali menyatakan bahawa tiada apa-apa kesalahan yang boleh didakwa ke atas penyangak 1MDB. Dengan pensabitan ini, kini terbukti bahawa dakwaan tiada salah laku berkaitan 1MDB adalah palsu.

Justeru, KANUN menggesa supaya mandat rakyat dapat dikembalikan kepada PH supaya usaha-usaha untuk mendaulatkan perjuangan rakyat menerusi manifesto PH dapat diteruskan.

KANUN juga mengesa supaya Pas dapat mengkaji semula kerjasama politik mereka dengan Umno melalui Muafakat Nasional supaya tidak terlihat bahawa Pas juga bekerjasama dengan penyangak 1MDB.

Jika Pas masih meneruskan kerjasama sebegini maka Pas akan dilihat sebagai penyokong kepada penyangak 1MDB dan ini tentu sekali tidak selari dengan perjuangan Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

KANUN juga ingin mengingatkan Pas bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga beliau didapati bersalah dan kini Najib telah didapati bersalah oleh Mahkamah. Sabitan itu kekal sehinggalah jika ada apa-apa keputusan Mahkamah yang lebih tinggi yang mengakaskan keputusan Mahkamah Tinggi ini.

Sayugianya, Pas tidak terus bersekongkol dengan orang yang telah disabitkan oleh Mahkamah dan patut menfaraqkan kerjasama politik Pas dengan Umno memandangkan ramai lagi pemimpin besar Umno yang masih terpalit dengan kes 1MDB.

Marilah kita sama-sama merenung firman Allah Taala:

“Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya, ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?

[Tafsir Pimpinan Al-Rahman: An-Nahl: 76]

 

*DR. ZULQARNAIN LUKMAN merupakan Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang) AMANAH Nasional.