Daun kari ada bintik hitam? Ini cara pantas nak hilangkan ia

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi yang tanam pokok daun kari mesti perasan, kadang-kadang ada bintik hitam di bahagian bawah dan bila nak guna kena sental sampai ia hilang.

Kalau sehelai dua mungkin rajin tapi kalau dah keseluruhan pokok ada daun dengan bintik hitam pastinya ramai akan mula mencari solusi.

Ikuti perkongsian pengguna Facebook, Nor Rizal Osman mengenai cara untuk menghilangkan bintik hitam pada daun.

“Mesej dari Team Abambaja Melaka, penyakit bintik hitam ini bermula dengan kehadiran bintik-bintik hitam pada permukaan daun dan akhirnya akan terjadi kekuningan berbentuk cincin.

Ini disebabkan kehadiran jamur pada tanah, hasil dari keadaan cuaca yang sejuk sejak kebelakangan ini.”

Tip hilangkan bintik hitam pada daun kari

1. Cuka

Sembur cuka kayu supaya kehadiran jamur dilemahkan. Buat seberapa kerap yang mungkin

2. Media tanaman jangan terlalu lembap

Pastikan media tanaman jangan terlalu lembab dan siram jika perlu sahaja.

Media tanaman adalah tanah campuran yang boleh dibeli di nurseri bunga atau boleh dibuat sendiri.

3. Cahaya matahari

Letakkan tanaman di bawah cahaya matahari dan lakukan pencantasan daun. Daun yang dibawah perlu dicantas supaya pengaliran udara lebih baik.

4. Guna semburan serangga organik

Sembur tanaman dengan kawalan serangga organik secara berkala supaya menghalang makhluk perosak mendekati tanaman anda.

Dalam pada itu ramai menasihatkan untuk mencantas semua daun terlebih dahulu sebelum mengikuti tip di atas.

Tip kedua

Seorang lagi pengguna Facebook, Zuraidah Omar berkongsi caranya yang hanya menggunakan empat bahan.

“Saya buat ni pada pokok cili, kari, bidara. Alhamdulillah menjadi dan imat kos lagi. Mana daun-daun yang ada masalah akan luruh dengan sendiri kemudian akan naik daun baru.”

Caranya:

1. Ambil sedikit cuka makan, sabun basuh pinggan, sedikit bikarbonat soda dan air.

2. Bancuh semua sekali dan masukkan dalam botol spray.

3. Sembur pada waktu pagi sebelum panas atau petang.

Selamat mencuba!

Baca juga: Baru tahu lemon boleh bantu segarkan semula sayur layu, jangan lupa tambah satu bahan ini!