Malaysia Dateline

D’Bilut Agro Farm, percutian dalam ladang

Bagi pengunjung yang mahu bercuti dan merasai suasana sebenar di ladang, D’Bilut Agro Farm, Lurah Bilut, Bentong adalah destinasi yang seharusnya diletakkan dalam senarai percutian anda.

Terletak kira-kira satu jam dari Tol Gombak, udara segar ditambahkan dengan persekitaran mesra keluarga dan pemandangan menghijau, pastinya membangkitkan suasana percutian yang menenangkan pengunjung.

Bukan sahaja suasana pemandangan indah boleh didapati di D’Bilut Agro Farm, malah pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung bagi merasai konsep sebenar kehidupan ladang di atas tanah berkeluasan 7.5 ekar itu.

Pemandu pelancong mesra dipanggil Abang Joy menunjukkan persekitaran di sekeliling D’Bilut AgroFarm yang terletak di atas bukit.

Di samping bercuti bersama keluarga, pihak D’Bilut Agro Farm semestinya sudah mempunyai perancangan rapi bagi memastikan pengunjung tidak terlepas dari merasai ‘nikmat’ percutian dalam ladang.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan adalah memberi makan kepada kira-kira 120 ekor rusa di ladang rusa, merasai keenakan madu kelulut, melawat taman-taman haiwan seperti arnab, burung, kucing, aktiviti memanah dan juga wayang pacak.

Campers boleh menikmati pemandangan sambil bersantai dari atas struktur tapak perkhemahan yang dibina di tebing bukit.

Bagi pencinta alam, mereka boleh mendaki di Bukit Botak, manakala untuk peminat sukan lasak pula, All-Terrain Vehicle (ATV) berkuasa 500cc turut disediakan untuk mereka.

Datuk  Ir Dr Nik Mohd Kamel Nik Hassan

Pengasas dan Penasihat D’Bilut Agro Farm, Datuk  Ir Dr Nik Mohd Kamel Nik Hassan, 67, berkata, beliau telah memulakan perniagaan ini sekitar empat tahun yang lepas, namun proses persiapannya dibuat secara berperingkat.

“Asalnya sekadar suka-suka sahaja. Ia bermula apabila ayah saya memotong kelapa sawit dan kemudian bertukar angin kepada dunia buah-buahan (durian). Masa itu yang paling hangat ialah D24, iaitu 20 tahun lalu.

Jika berkunjung di musim buah-buahan antara yang terdapat di ladang agro farm durian segar  D24.

“Jadi, saya lihat tiada hasil, maknanya baja diletakkan tetapi pendapatan tidak berbaloi dengan perbelanjaan baja. Kemudian saya dapat idea daripada kawan saya, dia buat taman haiwan.

“Dari situlah mulanya timbul idea nak buat resort ini supaya ada sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran D’Bilut Agro Farm, baru-baru ini.

Antara menu menarik masakan tempatan dan barat yang boleh didapati oleh para pengunjung.

Menu daging rusa

Tidak lengkap rasanya jika tidak disebut tentang menu wajib cuba atau ‘signature dish’ yang terdapat di restoran D’Bilut ini, pastinya membuatkan pengunjung teringat-ingat tentang keenakan makanan disediakan.

Menurut Nik Mohd Kamel yang juga merupakan generasi kedua anak Felda Bilut, ’signature dish’ yang dihidangkan adalah berasaskan daging rusa.

“Saya bercadang nak buat lemang rendang rusa dan kami juga akan menganjurkan sambutan Ramadan pada tahun ini. Kami akan beri tawaran harga istimewa kepada pengunjung khas untuk menarik mereka datang ke restoran ini,” katanya.

Antara tarikan menarik adalah pengunjung boleh membawa anak-anak mereka mendekati pelbagai spesis burung.

Lebih menarik lagi, apabila tiba musim buah-buahan, pengunjung dibenarkan memetik dan makan buah-buahan seperti durian, rambutan dan manggis Jepun (tanpa biji) dengan kadar harga yang pastinya ‘istimewa’ khas buat pengunjung D’Bilut Agro Farm.

Selain menjana pendapatan dan menjadikan perniagaan resort ini sebagai hobi, Nik Mohd Kamel yang sebelum ini bekerja sebagai perunding kejuruteraan, turut berhasrat membuka peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk di sekitar Bilut.

Terdapat lebih daripada 100 ekor rusa diternak untuk pengeluaran daging. Pengunjung boleh mendekati haiwan ini dengan memberi makanan kegemaran rusa iaitu isi buah nangka.

“Antara sumbangan yang boleh saya berikan ialah pertama, saya akan menarik pelancong yang ingin melihat pokok getah dan cara menorehnya. Saya rasa tidak semua orang tahu cara untuk menoreh getah.

“Jadi, saya akan cari orang kampung yang ada pokok getah, kemudian menjalankan proses penorehan. Kita bayarlah kepada mereka, dan pelancong akan dibawa ke kilang untuk melihat sendiri proses pembuatan getah itu.

“Melalui bantuan sedemikian, komuniti di sini dapat hidup dengan menikmati bersama ekonomi yang dihasilkan dari resort ini,” ujarnya lagi.

Dua buah kontena terpakai diubah suai menjadi pejabat pengurusan D’Bilut AgroFarm dan juga restoran

Ditanya mengenai sasaran pendapatan dalam perniagaan ini, untuk tahun pertama ini, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya RM150,000 untuk taman haiwan, manakala RM200,000 hasil daripada restoran.

Selain menginap dan menikmati hidangan disediakan, Nik Mohd Kamel juga merancang menyediakan beberapa ekor kuda dan basikal jenis Mountain Bike untuk kegunaan pengunjung bagi aktiviti riadah.

“Sebagai makluman, kami tidak hanya tertumpu kepada pengunjung semata-semata. Maknanya di sini juga, kita akan buat program seperti pengukuhan pasukan (team building) dan program latihan untuk syarikat-syarikat.

“Tentang harga pula, ia pastinya berpatutan dan saya tidak akan caj mahal, Kita boleh tawarkan pakej lengkap beserta pakej 3 kali makan sehari,” katanya sambil menambah tarikan utama resort itu adalah untuk kanak-kanak melihat taman haiwan.

Dikalangan pengunjung dan petugas D Bilut Agro Farm  bergambar kenangan di hujung acara yang diadakan sepanjang majlis tersebut.

Selain itu di resort ini juga menyediakan pakej bagi mereka yang mahu meraikan majlis hari jadi, Aqiqah dan pelbagai lagi majlis keraian.

Terdapat  bilik penginapan yang selesa kepada pengunjung mengambil nama bilik beberapa haiwan peliharaan yang terdapat di situ.

Anda boleh menginap di Merpati Cabana atau Merbah Cabana dengan harga serendah RM200; Punggok Deluxe Terrace (RM300) dan; Punggok Family Terrace hingga RM700 sehari.

Turut disediakan Kecapi Domitary yang boleh memuatkan 9 orang pada satu masa.

Bagi pencinta alam D’Bilut Agro Farm sesuai untuk percutian. Jika mahu menghirup udara segar, pandangan hijau terbentang luas dan mendengar kicauan burung serta unggas pada larut malam boleh menginap di kawasan perkhemahan yang disediakan.

Di kawasan perkhemahan ini harga ditawarkan serendah RM40 (2 orang) dan bagi pengunjung yang mahu perkhemahan di atas pelantar (deck) bayaran dikenakan RM80 (4 orang)

Bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung, akan dibina Cabana Villa dan Glamping Site tidak lama lagi, kata pemiliknya.

.Untuk tempahan dan info lanjut boleh hubungi: Ajoi +60111 0873 769 atau Ayu +6014 294 7842